Ads Top

Beberapa Persoalan Tentang Proses Pengimportan Daging Yang Anda Perlu Tahu

Sehingga hari ini, hangat isu kartel yang menyeludup daging sejuk beku yang melanda negara kita. Perkara itu memberi kesan kepada masyarakat kita terutamanya umat Islam kerana ia berkait dengan halal dan haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berkata, kerajaan akan berusaha untuk menambah baik piawaian halal tertutamanya yang melibatkan daging dan produk yang diimport.

Dari masa ke masa, pihak halal (Bahagian Pengurusan Halal) JAKIM akan memastikan perkara ini sentiasa diambil perhatian.

Menerusi perkongsiannya di laman sesawang, beliau telah mengemukakan beberapa jawapan bagi persoalan yang tumbuh berkenaan dengan pengimportan daging.

Jadi, ini adalah apa yang anda perlu tahu tentang pengimportan daging;

#1 – Dasar Kerajaan Malaysia mengenai pengimportan daging dan produk daging

Kebenaran pegimportan daging dan produk daging hanya daripada abattoir (pusat sembelihan) dan loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengesahan halal dari Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM akan dilakukan ke atas daging import ini.

Manakala, pengimport pula perlu mengemukakan sijil kelulusan permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum ia dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.

#2 – Pengiktirafan abattoir dan loji pemprosesan luar negara

Permohonan perlu dilakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melalui laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Bagi permohonan yang lengkap, semakan akan diambil dari sudut teknikal yang merangkumi keperluan sanitasi dan kebersihan. Manakala, pihak JAKIM pula akan membuat semakan dari sudut syariah.

Apabila selesai, audit permatuhan di lapangan secara bersama di abattoir atau loji luar negara akan dilakukan oleh JAKIM dan JPV.

#3 – Terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh setiap abattoir atau loji pemprosesan luar negara yang ingin mengeksport daging ke Malaysia, iaitu:

a. MS 1500:2009 Halal Food – Production, Preparation, Handling anda Storage – General Guidelines 2 Revision

b. Malaysian Protocol for Halal Meat and Poultry Production

c. Implementation of Inspection Services at Foreign Abattoir and Processing Plant for Export of Meat and Products of Animal Origin to Malaysia

#4 – Skop pemeriksaan oleh pegawai pemeriksa JAKIM sepanjang tempoh audit

Antara perkara yang akan disenarai semak oleh pegawai pemeriksa JAKIM adalah:

a. Profil syarikat bagi mengenal pasti badan pensijilan yang mengawal dan mengiktiraf abattoir atau loji pemprosesan

b. Keperluan pengurusan halal, seperti;

– Tanggungjawab pengurusan

– Keadaan dan kedudukan premis

– Peralatan dan kelengkapan untuk penyembelihan halal

– Kebersihan dan sanitasi, sumber dan kategori haiwan sembelihan

– Proses penyembelihan

– Pemprosesan, pengendalian dan pengedaran sembelihan halal

– Penyimpanan, pengangkutan dan penyajian hasil sembelihan halal

– Pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan hasil sembelihan halal

– Keperluan perundangan

– Pematuhan kepada standard dan protokol

– Sijil halal dan tanda pensijilan halal

– Badan pensijilan halal, Pihak berkuasa yang mengawal dan mengendali negara pengeksport

c. Kedudukan dan kemudahan yang disediakan premis

d. Kemudahan untuk pekerja muslim

e. Operasi sembelihan halal

Apabila kesemua perkara di atas selesai, pegawai pemeriksaan akan menyedia dan membentangkan laporan audit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penganugerahan Loji Luar Negara (JTPALLN).

Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPV dan dianggotai oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Ia adalah untuk memberi jawapan kepada kelulusan dan pengiktirafan terhadap pengauditan tersebut.

#5 – Pihak yang bertanggungjawab mengawal selia abattoir dan loji pemprosesan produk daging yang diiktiraf oleh JPV di luar negara

Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkara ini.

Mereka akan menyelia dan mengawasi kempetensi Badan Pensijilan halal dengan sentiasa mengambil kira akan pematuhan standard halal dan keperluan syariah serta pelaporan aktiviti penyembelihan halal secara berkala.

#6 – Rujukan senarai abattoir dan loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf oleh Malaysia

Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyediakan senarai penuh Abattoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Anda boleh layari laman sesawang mereka, iaitu di JPV Malaysia untuk melihat senarai dan maklumat penuh.

Sumber:
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

The post Beberapa Persoalan Tentang Proses Pengimportan Daging Yang Anda Perlu Tahu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.