Ads Top

Wanita Yang Berniaga Ketika Solat Jumaat – Adakah Sah Jual Belinya

Sebelum ini Tzkrh pernah mengupas mengenai beberapa waktu jual beli yang diharamkan pada hari Jumaat.

Melalui kupasan itu, kita dapat faham bahawa hukum jual beli setelah azan yang kedua berkumandang adalah haram. Begitu juga ketika imam menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah.

Jadi, pada waktu ini, lelaki yang diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat adalah dilarang untuk melakukan urusan jual beli.

Jadi, adakah wanita yang melakukan jual beli ketika solat Jumaat juga termasuk dalam larangan ini?

Ini kerana, wanita tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat sebagaimana penerangan yang diberikan oleh ulama seperti;

“Diwajibkan solat Jumaat ke atas lelaki sahaja dan tidak diwajibkan ke atas perempuan kerana mereka disibukkan untuk menjaga anak dan menguruskan rumahtangga.” (Al-Mu’tamad fi al-Fikh al-Syafi’e, 1;495)

Jadi, sebelum kita melihat hukumnya ke atas perempuan, ada beberapa keadaan yang perlu diambil perhatian yang berdasarkan keterangan oleh Dr Muhammad Zuhaili mengenai urusan jual beli yang dilakukan ketika masuknya waktu solat Jumaat, iaitu;

#1 – Harus melakukan urusan jual beli sebelum masuk waktu Zuhur.

#2 – Tidak makruh jual beli selepas waktu solat Jumaat.

#3 – Tidak haram ke atas lelaki yang tidak termasuk dalam golongan diwajibkan menunaikan solat Jumaat untuk melakukan urusan jual beli ketika waktu solat Jumaat.

#4 – Jual beli sah tetapi haram hukumnya ke atas dua golongan yang salah satunya diwajibkan menunaikan solat Jumaat dan seorang lagi tidak. Contohnya, penjual adalah perempuan dan pembeli adalah lelaki yang diwajibkan solat Jumaat.

Kesimpulan

Melalui penerangan yang diberikan, kita dapat faham bahawa perempuan dibolehkan melakukan urusan jual beli dan ia adalah sah.

Namun, jika urusan jual beli itu melibatkan wanita dan penjual lelaki atau pembelinya lelaki (yang diwajibkan ke atas mereka menunaikan solat Jumaat), maka haram perbuatan tersebut tetapi jual belinya adalah sah.

Imam Jalaluddin al-Mahali berkata bahawa ia adalah perbuatan yang berdosa kerana membantu dalam perkara yang diharamkan.

Melihat kepada saranan daripada Mufti Wilayah Persekutuan pula, adalah lebih baik untuk peniaga tidak melakukan aktivit jual beli terutamanya yang berdekatan dengan kawasan masjid.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Wanita Yang Berniaga Ketika Solat Jumaat - Adakah Sah Jual Belinya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.