Ads Top

Selawat Akan Dibentangkan Kepada Rasulullah Pada Hari Jumaat

Satu sunnah yang tidak asing lagi bagi umat Islam adalah mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ia salah satu tanda bahawa kita ingat dan rindu kepada baginda. Malah Allah juga akan membalas satu selawat yang diucapkan dengan 10 balasan kebaikan.

Istimewanya amalan berselawat ini apabila diberitakan bahawa selawat akan dibentangkan kepada baginda pada hari Jumaat. Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi, no.5995)

Hadis ini dinilai hasan seperti mana yang diulas oleh Imam Al-Sakhawi, Imam Al-Suyuthi dan Imam Al-Syaukani.

Jumaat boleh menjadi lubuk pahala yang paling senang. Kita boleh sahaja berselawat pada bila-bila masa – sewaktu bekerja, memasak, memandu dan lain-lain. Muliakanlah baginda dengan apa jua cara yang mampu kita lakukan. Semoga di akhirat kelak, kita dapat berada hampir dengan baginda.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan

The post Selawat Akan Dibentangkan Kepada Rasulullah Pada Hari Jumaat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.