Pendapat Ulama Tentang Usia Bidadari Syurga
Sebelum ini Tzkrh pernah berkongsi mengenai sifat bidadari syurga menurut Al-Quran yang telah digambarkan. Kita mengetahui bahawa ia adalah makhluk yang diciptakan Allah sebagai ganjaran buat hambaNya yang beramal soleh.
Namun, ganjaran ini hanya boleh diperoleh apabila seseorang itu memasuki syurga. Jadi, ia boleh dikategorikan sebagai salah satu motivasi untuk seseorang itu berbuat kebaikan.
Bidadari syurga juga merupakan ciptaan Allah yang sangat cantik dan mereka ini menghuni syurga dalam keadaan yang sentiasa muda dan tidak tua.
Begitu juga dengan para penghuni syurga, usia mereka adalah muda dan tidak pernah tua, bahkan diriwayatkan bahawa usia mereka dianggarkan antara 30 hingga 33 tahun.
Hal ini ada disebutkan dalam beberapa riwayat seperti daripada Muaz bin Jabal.
Maksud: “Penduduk syurga akan masuk syurga dalam keadaan jurdan (tidak berbulu di badannya), murdan (tidak berjanggut), bercelak dan usia 30 atau 33 tahun.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2545)
Namun, berapa pula usia bidadari syurga ini? Adakah lebih tua atau lebih muda daripada penghuninya?
Menurut pendapat beberapa ulama seperti Imam Al-Baghawi, usia penghuni syurga dan bidadari adalah sebaya. Ia juga dipersetujui oleh Ibnu Kathir.
Mereka juga berhujah dengan dalil yang telah disebut melalui kalam Allah, iaitu;
وَعِندَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ
Mafhum: “Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya.” (Surah Sad, 38:52)
Dan di dalam surah Al-Waqiah juga ada menyebut;
Mafhum: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.” (Surah Waqiah, 56:35)
Di sini dapat disimpulkan bahawa umur biadari adalah sebaya dengan para penghuni syurga.
Dan umur penghuni syurga pula dibahaskan adalah antara 30 hingga 33 tahun berdasarkan beberapa periwayatan hadis.
Umur mereka tidak akan bertambah atau berkurang dan sehingga bila mereka akan memiliki umur tersebut, tiada dalil sahih yang menyebutkannya.
Wallahu a’alam
Baca Juga:
Usia Penghuni Syurga
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Pendapat Ulama Tentang Usia Bidadari Syurga first appeared on Tazkirah.
No comments: