Ads Top

Pendapat Ulama Berkenaan Waktu Sunat Memberi Nama Bayi

Bila perlu memberi nama kepada bayi yang baru lahir? Sebagai pasangan yang bakal mempunyai cahaya mata, pasti anda sedang memikirkan perkara ini, bukan?

Bilakah waktu yang tepat untuk mengumumkan nama bayi anda? Ia bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau dengan niat yang salah, tetapi ia merupakan salah satu perbuatan yang boleh mengambil berkat dan pahala sunnah dari perbuatan Nabi SAW.

Sebenarnya, melihat kepada jawapan yang pernah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, nama bayi boleh diberikan pada bila-bila masa sejurus ia dilahirkan.

Menurut perbahahasan ulama juga, tiada waktu yang khusus untuk menamakan bayi. Hukum asalnya adalah harus.

Tetapi, ada waktu-waktu sunat yang boleh dinamakan bayi ini, iaitu ia terbahagi kepada tiga waktu;

#1 – Sunat Pada Hari Ketujuh Kelahiran

Ulama dari mazhab Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa sunat diberikan nama bayi pada hari ketujuh kelahiran. Mereka melihat kepada beberapa hadis Nabi SAW;

Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberi nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2382)

#2 – Sunat Pada Hari Kelahirannya

Sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali berpendapat bahawa disunatkan memberi nama pada hari bayi itu dilahirkan.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2315)

#3 – Disunat Hari Ketujuh Jika Ingin Diakikahkan Pada Hari Tersebut

Menurut sebahagian daripada ulama yang bermazhab Syafi’e, Maliki dan juga Imam al-Bukhari, jika bayi tersebut diniatkan untuk diakikahkan pada hari ketujuh, maka sunat juga diberikan nama pada hari ketujuh.

Namun, jika anak tersebut diniatkan untuk diakikahkan lambat atau tidak diakikahkan, maka boleh mengumumkan nama bayi tersebut pada hari pertama kelahiran.

Kesimpulan

Waktu-waktu tersebut adalah waktu yang sunat. Namun, harus untuk memberikan nama pada bila-bila masa sahaja, tiada masa yang dikhususkan mahupun yang dilarang.

Justeru, boleh sahaja memberikan nama bayi pada hari pertama kelahiran mahupun hari ketujuh.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Pendapat Ulama Berkenaan Waktu Sunat Memberi Nama Bayi first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.