Ads Top

Malaikat Memayungi Manusia Yang Hadir Majlis Ilmu – Adakah Sama Jika Di Alam Maya

Sewaktu awal-awal COVID-19 mula melanda negara kita dan kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua orang diminta untuk duduk di rumah bagi membantu memutuskan rantaian virus itu.

Waktu itu, semua orang berada di rumah, melainkan ada beberapa sektor yang terlibat yang masih lagi perlu bekerja dari tempat kerja mereka seperti polis, doktor dan sebagainya.

Pada waktu ini, banyak usaha yang telah dilakukan untuk memastikan agar rakyat bukan sahaja kekal sihat dari virus yang melanda, namun juga sihat akal dan rohani.

Salah satunya adalah dengan menyiarkan pelbagai siaran menarik, baik di televisyen mahupun saluran lain untuk membantu mengisi jiwa manusia.

Kalau kita masih ingat, banyak juga sebenarnya siaran dalam bidang agama. Bukan sahaja di televisyen, namun di laman sosial lain seperti Facebook dan Instagram apabila ramai dalam kalangan para guru mahupun ustaz dan ustazah yang mula mengambil inisiatif berkongsi ilmu melaluinya.

Walaupun auranya tidak sama dengan menuntut ilmu secara bersemuka, namun tidak salah untuk memanfaatkannya dengan mengikut kelas pengajian tersebut.

Bahkan, perkara itu bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah sahaja diamalkan sebelum ini dan perkara ini sudah menjadi norma yang kekal diamalkan sehingga ke hari ini.

Yang Dimaksudkan Dengan Dipayungi Malaikat

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id RA bahawa Baginda SAW bersabda:

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ المَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عليهمِ السَّكِينَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَن عِنْدَهُ

Maksud: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat, ditutunkan sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2700)

Melalui hadis ini disebutkan bahawa golongan yang berzikir (mengingati Allah) akan sentiasa dipayungi malaikat.

Mengingati Allah di sini bukanlah hanya terhad kepada majlis-majlis zikir, selawat dan taa’lim (pengajian) baik Al-Quran mahupun hadis, namun termasuk dalam kategori menuntut ilmu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Apabila kita melihat golongan ulama dan tokoh-tokoh terkemuka, mereka sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan salah satu caranya adalah menuntut ilmu.

Ilmu merupakan perkara utama dan yang sering dititiberatkan kerana dengan ilmu, hati akan sentiasa merasa dekat dengan Allah dan tidak akan memesongkan diri ke jalan yang salah.

Hadis ini juga menyebut bahawa majlis-majlis yang mampu mendekatkan diri kepada Allah seperti majlis ilmu sentiasa dikelilingi malaikat dan dipayungi dengan rahmat Allah.

Yang dimaksudkan dengan dikelilingi malaikat ialah golongan ini sentiasa diberkati dengan ilmu yang diperoleh. Perbuatan tersebut adalah yang diredai dan dimuliakan.

Dpayungi dengan rahmat Allah pula menunjukkan bahawa Allah melimpahkan kepada golongan ini rahmat dan kasih sayangNya. Dengan rahmat inilah yang akan menjadikan manusia sentiasa terikat dengan Allah dan ilmu itu diberkati.

Bagaimana ilmu itu boleh diberkati? Salah satu tandanya ialah apabila ilmu yang ada itu boleh memberi manfaat buat dirinya dan juga sekeliling.

Bagaimana pula dengan mereka yang menuntut ilmu dalam keadaan secara maya? Adakah mereka juga dinaungi malaikat?

“Barangsiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4867)

Kelebihan orang yang menuntut ilmu itu banyak, tidak kiralah bagaimana caranya dan semua itu bergantung kepada niat.

Jika baik niatnya, maka Allah akan mengganjarkan ganjaran yang besar buatnya. Sama juga dengan mereka yang berusaha menuntut ilmu secara maya. Usaha dan niatnya itu sudah ada, maka limpahan rahmat itu akan sentiasa diberikan buatnya.

Bahkan, sama sahaja dengan orang yang menuntut ilmu secara alam maya mahupun secara terus. Itu adalah salah satu cara yang dilakukan untuk memperoleh ilmu dan tidak menjadi masalah asalkan tidak dilakukan dengan cara yang haram.

Kesimpulan

Cara menuntut ilmu itu ada pelbagai. Sama ada berguru secara terus mahupun di media, ia boleh sahaja dilakukan asalkan kita melihat kepada ilmu yang disampaikan itu sama ada diyakini mahupun tidak.

Malaikat akan sentiasa memayungi golongan yang menuntut ilmu dan limpahan rahmat Allah akan sentiasa bersama dengan golongan yang sentiasa dahagakan ilmu.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com
Malaikat Memayungi Mereka Yang Hadir Ke Majlis Ilmu

The post Malaikat Memayungi Manusia Yang Hadir Majlis Ilmu - Adakah Sama Jika Di Alam Maya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.