Ads Top

Makna Bacaan Qunut Yang Perlu Kita Tahu

Qunut yang dibaca di dalam solat Subuh; pernahkah anda terfikir mengenai asal usulnya atau mengapa hanya di dalam solat Subuh sahaja dibacakan doa ini?

Jadi, entri kali ini akan membawakan kepada anda mengenai asal usul qunut dan apakah maksud di sebalik doa qunut ini.

Qunut berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud berdiri lama, diam, selalu tunduk dan khusyuk. Maksudnya dari segi istilah adalah sebuah doa yang dibaca di dalam solat pada tempat dan waktu yang dikhususkan semasa berdiri.

Asal Usul Qunut

Sebenarnya, bukan di dalam solat Subuh sahaja ada qunut, namun ia juga ada dibaca dalam solat Tarawih dan solat-solat yang lain. Ia dinamakan Qunut Witir (yang dibaca dalam solat witir) dan Qunut Nazilah (yang sunat dibaca ketika terjadinya musibah atau bencana).

Berdasarkan hadis yang menceritakan mengenai asal usul qunut ialah, ia sebenarnya telah mula dibaca pada solat Subuh dan Maghrib ketika Baginda SAW mengimami solat itu.

Bacaan itu adalah bagi mendoakan keburukan terhadap kaum yang telah membunuh para sahabat di Bi’r Ma’unah yang melibatkan 70 orang penghafaz Al-Quran telah meninggal dunia akibat dibunuh.

Selepas sebulan, bacaan qunut tidak diteruskan melainkan dalam solat Subuh. Dan sehingga kini ia diteruskan.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik ada menyebut;

Maksud: “Rasulullah SAW membaca qunut selama satu bulan ketika para qurra itu terbunuh dan aku belum pernah melihat Rasulullah begitu berduka dibandingkan kejadian tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1300)

Makna Doa Qunut

Bacaan qunut memberi makna yang sangat besar sebenarnya. Ia merupakan doa untuk kita memohon petunjuk serta perlindungan dari Allah dan untuk kita ingat bahawa hukuman setiap perbuatan itu datangnya dari Allah.

اَللّهُمَّ اهْدِنِىْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ

Ya Allah, berilah aku hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah

وَ عَافِنِى فِيْمَنْ عَافَيْتَ

Berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan

وَتَوَلَّنِىْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ

Dan peliharalah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan

وَبَارِكْ لِىْ فِيْمَا اَعْطَيْتَ

Berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan

وَقِنِيْ شَرَّمَا قََضَيْتَ

Dan selamatkanlah aku (dengan rahmat Allah) dari bahaya yang telah Engkau tentukan

فَاِ نَّكَ تَقْضِىْ وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ

Maka, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan bukannya yang kena hukum

وَاِ نَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ

Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin

وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi

تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Maha suci Engkau wahai tuhan kami dan Maha Tinggi

فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ

Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau hukumkan

وَاَسْتَغْفِرُكَ وَاَتُوْبُ اِلَيْكَ

Dan aku memohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepadaMu

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ اْلاُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

Dan semga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya.

Sumber:
JAKIM

The post Makna Bacaan Qunut Yang Perlu Kita Tahu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.