Ads Top

Beri Makan Kucing Jalanan Sehingga Mengganggu Jiran?

Berbuat baik kepada binatang adalah satu sunnah dan keharusan dalam Islam. Ini kerana mereka juga makhluk Allah dan mempunyai hak-haknya yang tersendiri, tidak kira binatang yang dipelihara atau yang bebas berkeliaran.

Antara binatang yang sentiasa mendapat perhatian dan rasa kasihan manusia adalah kucing yang berkeliaran di jalanan. Sesetengah orang akan membawa makanan kucing di dalam beg, sebagai persediaan apabila terjumpa dengan kucing di tengah jalanan dan boleh terus diberi makan.

Namun bagaimana pula jika perbuatan tersebut dilakukan sehingga mengganggu jiran atau orang yang lalu lalang? Contohnya ia membuatkan kucing berak merata atau makanan kucing bersepah lalu membuatkan orang tidak senang.

Ia bukan hal yang aneh jika anda tinggal pula di kawasan pangsapuri. Malah saya sendiri pernah menghadapi hal ini – jiran memberi makan kepada kucing di kawasan koridor berdekatan rumah lalu kucing berak tidak jauh dari pintu rumah. Ia adalah suatu hal yang tidak menyenangkan.

Dalam hal ini, kita perlu memahami keutamaan antara memberi makan kucing atau tidak mengganggu dan menyusahkan jiran. Jawapannya sudah pasti lebih utama untuk memastikan jiran tidak terganggu dengan perbuatan kita.

Justeru, jika diketahui ia membawa kepada masalah, sebaiknya perbuatan memberi makan kepada kucing itu dielakkan bagi menjaga keharmonian hubungan dengan jiran. Anda juga boleh memikirkan solusi lain seperti memberi makan kepada kucing di tempat yang jauh sedikit daripada kawasan jiran serta membersihkan kembali bekas makanan tersebut.

Secara ringkasnya, kebaikan yang ingin kita lakukan tidak menghalalkan kita meremehkan kebaikan dan tanggungjawab yang lain. Buatlah pertimbangan dengan bijak dalam menjaga hubungan dengan jiran serta berbuat baik kepada binatang.

Sumber rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan

The post Beri Makan Kucing Jalanan Sehingga Mengganggu Jiran? first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.