Adakah Kita Dilalaikan Dengan Kehidupan Dunia?
Hidup di dunia ini tidak dinafikan penuh dengan naik turunnya. Ada kala kita ditimpa hal yang menyedihkan, gembira, marah, menakutkan dan bermacam-macam lagi.
Jika ditimpa hal yang sedih, kita jadi terlalu tenggelam dalam kesedihan. Dan apabila melalui hal yang menyenangkan, kita terlampau gembira. Ia silih berganti.
Hingga kadang-kadang kita terlupa bahawa hidup ini sebenarnya cubaan yang melalaikan sahaja. Allah menggambarkan dalam Surah Al-Hadid bahawa kehidupan ini cuma permainan dan hiburan.
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)…” (Surah Al-Hadid 57:20)
Hakikatnya semuanya mempunyai tarikh akhir. Sampai masa kita akan pergi dahulu daripada dunia ini atau dunia ini yang berakhir dengan kehancuran dan kemusnahan.
Dunia memang disediakan untuk manusia, tetapi tidakkah kita terfikir bahawa penciptaan kita ke dunia ini takkanlah semata-mata untuk menjalani kehidupan yang fizikal sahaja – untuk makan, minum, bekerja, berhibur dan bergembira.
Pasti ada satu tujuan utama. Tidak lain tidak bukan untuk mengenal kembali pencipta, untuk memaknakan semula perjanjian di alam roh dahulu yang telah kita lupa, untuk beriman dan beramal soleh di samping menjalani kehidupan sementara di dunia sebelum pulang ke negeri abadi iaitu akhirat.
Lalu Allah menyeru kita supaya berlumba-lumba dalam mengerjakan amal yang baik untuk mendapatkan keredaanNya.
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya…” (Surah Al-Hadid 57:21)
Hakikatnya kita tahu bahawa kehidupan kita ini ada tempoh akhirnya, tetapi mengapa kita memperlakukan dunia ini seolah-olah ia adalah tempat tinggal kita selamanya?
The post Adakah Kita Dilalaikan Dengan Kehidupan Dunia? first appeared on Tazkirah.
No comments: