Ads Top

5 Perkara Perlu Diambil Perhatian Ketika Isteri Hamil

Salah satu kegembiraan buat pasangan yang berkahwin adalah ketika mereka dikurniakan cahaya mata.

Pasti ia merupakan sebuah pengalaman baru yang sangat mengujakan buat pasangan apatah lagi jika khabar gembira itu ditunggu setelah sekian lama.

Selama sembilan bulan usia kandungan, pastinya pasangan yang bakal bergelar orang tua perlu mempersiapkan diri sama ada dari segi ilmu, mental dan juga fizikal agar pengalaman yang bakal dilalui tidaklah terlalu mengejutkan.

Pastinya ada pelbagai kejutan yang diibaratkan seperti roller coster, namun itu semua pasti boleh dilalui jika masing-masing bertoleransi dan boleh berkomunikasi dengan baik.

Tugas sepanjang proses mengandung itu bukanlah tugas si isteri semata-mata, namun tugas kedua-dua pihak. Suami juga perlu berusaha membantu isteri dan isteri juga perlu bertoleransi dengan perkara-perkara baru.

Jadi, entri kali ini akan berkongsi kepada anda yang bergelar suami mengenai bagaimana cara untuk sama-sama mengharungi perjalanan penuh makna bersama isteri selama sembilan bulan;

#1 – Paling Penting, Memahami

Dalam setiap perkara, yang paling penting adalah saling memahami. Sama ada suami atau isteri, kedua-duanya perlu saling memahami.

Jika tiada kefahaman, bagaimana bahtera yang dibina itu boleh berlayar sampai ke destinasi?

#2 – Bagaimana Untuk Memahami?

Jadi, bagaimana untuk memahami? Inilah yang sering kita terlepas pandang, iaitu komunikasi.

Komunikasi adalah kunci kepada segalanya. Berbincang, bertanya dan jujur dengan setiap perkara. Jangan biarkan pasangan anda overthinking dengan perkara-perkara yang tidak patut terutamanya jika dalam keadaan isteri anda sedang sarat mengandung.

#3 – Menemaninya Check Up

Jangan biarkan isteri anda pergi membuat rawatan susulan sendirian. Tunjukkan sokongan anda dan ini juga merupakan masa yang sesuai untuk membuktikan kasih sayang anda, iaitu dengan ada bersamanya di saat susah senangnya.

Walau sekuat mana pun wanita yang anda kenal, pasti di suatu saat, dia memerlukan suaminya untuk sama-sama melihat perkembangan cahaya mata kalian.

Sekali lagi, jika ada perkara yang menyebabkan anda tidak dapat menemaninya, jujurlah dengan isteri anda dan jangan biarkan dia tertanya-tanya. Ingat, komunikasi adalah kunci.

#4 – Jangan Dipaksa Walau Ia Adalah Kebiasaan

Apabila berbicara tentang hormon, rata-ratanya sudah mengetahui bahawa hormon wanita yang hamil ini dapat membawa perubahan bukan sahaja pada tubuh dan fungsi organ si ibu, namun juga kepada emosi.

Ada yang mudah merasa penat, ada yang mudah sakit kepala dan sebagainya. Semuanya disebabkan hormon dalam badan wanita itu yang mula berubah.

Jadi, dalam tempoh ini, si suami seharusnya bersabar dan jangan dipaksa isteri anda. Jika dia mengadu penat, terima ia dengan hati yang terbuka dan berusahalah untuk membantunya mengurangkan kepenatan itu.

Jika isteri tidak larat untuk mengemas rumah, maka suami perlu mengambil inisiatif untuk membantu tugas isteri. Jangan dipaksa dan jadilah suami yang bijak.

#5 – Masing-Masing Perlukan Me Time

Tak semua waktu, rumah tangga itu akan sentiasa aman. Ada kalanya ia akan dibadai masalah juga.

Jadi, sebelum masalah itu semakin besar yang boleh menyebabkan bahtera anda karam, beri ruang kepada diri masing-masing untuk bertenang.

Pastikan, setiap dari anda punya me time sendiri. Anda perlukan masa untuk bertenang dan isteri anda juga perlukan masa untuk berehat sebentar dari tanggungjawab.

Izinkan isteri anda keluar beraktiviti dengan rakan-rakannya ataupun anda juga boleh pergi meluangkan masa melakukan hobi anda. Walau apa pun yang dilakukan, pastikan ia boleh mengecas semua tenaga kalian, iaitu tenaga positiviti.

Namun jangan terleka sehingga mengabaikan tanggugjawab dalam rumah tangga pula.

Kesimpulan

Tugas mengandung itu bukan hanya tugas isteri, namun tugas bersama. Sepatutnya perjalanan selama sembilan bulan itu menjadi sebuah pengalaman indah buat pasangan agar dapat bersedia untuk menerima kehadiran baru dalam keluarga.

Jadi, cuba untuk menjadi pasangan yang sentiasa memahami dan bertoleransi agar bahtera itu dapat dipandu dengan selamat dan harmoni.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Alodokter.com

The post 5 Perkara Perlu Diambil Perhatian Ketika Isteri Hamil first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.