Risau Jika Masih Bermaksiat Selepas Ramadan?
“Kalau beribadah dalam bulan Ramadan, senanglah. Kan syaitan semua diikat. Kalau bulan lain, susahlah sikit, sebab ada gangguan daripada syaitan.”
Kita mungkin sering mendengar ramai orang yang memberikan alasan sedemikian untuk melarikan diri daripada dosa yang dilakukan.
Sedangkan ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar bahawa setiap niat dan hati yang telah diikhlaskan kerana Allah pasti akan dipermudahkan urusannya dalam menuju tuhan.
Gangguan daripada syaitan mahupun iblis itu merupakan salah satu ujian yang Allah hadirkan kepada setiap manusia bagi menilai iman dan taraf hatinya.
Disebabkan itu, manusia dianjurkan sentiasa mengingati Allah sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Sentiasa beristighfar dan berzikir bagi menetapkan hati kepada Allah.
Jika sentiasa memberi seribu satu alasan di atas dosa yang dilakukan atau amalan yang malas untuk diamalkan selepas puasa – sebagai contoh, semasa puasa rajin solat di awal waktu, namun berbeza dengan selepas Ramadan yang menunggu hujung waktu solat baru tergopoh-gapah untuk menunaikanya.
Itu semua adalah salah satu kerugian ke atas diri kita. Hal ini kerana, manusia itu perlu mengambil peluang dengan mendidik hati bagi terus kekal dan istiqamah bermula dari dalam madrasah Ramadan lagi.
Salah satu daripada tanda Ramadan anda diterima adalah dengan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Syeikh Shalih Al-Fauzan Hafidzahullah berkata;
Maksud: “Di antara tanda diterimanya amal soleh di bulan Ramadan adalah keadaan seorang muslim setelahnya menjadi lebih baik daripada sebelum Ramadan, kerana kebaikan akan mengajak kepada kebaikan (selanjutnya) dan amal soleh akan mengajak pada amal soleh yang lainnya.”
Justeru, jika terdetik di hati anda untuk melakukan maksiat atau malas beramal ibadah, niatkan dalam hati anda bahawa anda ingin menjadi lebih baik dari semalam.
Bertaqwa Kepada Allah
Taqwa itu ertinya takut kepada Allah dengan melakukan amal kebaikan dan meninggalkan yang mungkar. Kalau anda takut kepada hantu, pasti anda akan lebih menjauh daripadanya. Namun, jika seseorang manusia itu takut kepada Allah, pasti mereka akan lebih dekat denganNya.
وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Mafhum: “Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hashr, 59:18)
Ibnu Katsir melalui Tafsirnya menyebut maksud ayat ini ialah;
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab. Lihatlah apa yang telah kalian siapkan untuk diri kalian berupa amal soleh untuk hari di mana kalian akan kembali dan setiap amal kalian untuk dihadapkan kepada Allah.”
Anda juga boleh mengamalkan doa bagi meluputkan rasa malas beribadah itu dengan doa ini;
أللهمَّ احْرمْنِي لَذَّةَ مَعْصِيَتِكَ، وَارْزُقْنِي لَذَّةَ طَاعَتِكَ
Maksud: “Ya Allah, luputkan aku dari kelazatan maksiat kepadaMu dan berikanlah aku kelazatan untuk taat kepadaMu.”
Kesimpulan
Semua amalan itu bergantung kepada niat dan hati sendiri. Tidak ikhlas itu adalah permulaan kepada amal ibadah. Jika istiqamah dan dilakukan perlahan-lahan, maka ia akan menjadi kebiasaan kerana telah sebati dalam diri sendiri.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumaysho.com
No comments: