Gabung 3 Niat Puasa Serentak – Puasa Ganti, Sunat Syawal Dan Hari Putih
Syawal sudah memasuki fasa pertengahan, bermakna tinggal lagi lebih kurang dua minggu untuk umat Islam mengambil peluang berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ada juga yang mengambil peluang ini untuk terus menggantikan puasa wajib yang ditinggalkan pada Ramadan lalu.
Berdasarkan pendapat ulama terkemudian dalam Mazhab Syafie, ia dibolehkan. Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin RA juga memegang pendapat yang sama. Beliau menukilkan seperti berikut:
Maksud: “Jika puasa enam hari Syawal bertepatan dengan puasa Isnin atau Khamis, maka puasa Syawal juga akan mendapatkan pahala puasa Isnin. Begitu juga puasa Isnin atau Khamis yang akan mendapatkan pahala puasa Syawal. Hal ini adalah berdasarkan sabda Baginda SAW:
“Sesungguhnya setiap amal bergantung pada niat dan setiap orang akan mendapatkan pahala yang ia niatkan.” (Fatwa Syeikh Ibnu ‘Utsaimin, Fatwa Islamiyyah, 2:154)
Namun apa pula puasa sunat hari putih? Adakah boleh menggabungkan tiga puasa serentak?
Puasa sunat hari putih merupakan puasa sunat selama tiga hari di setiap pertengahan bulan Islam, iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15 hari bulan. Dinamakan hari putih kerana bulan purnama bersinar terang pada malam-malam tersebut.
Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Dzar, iaitu:
“Wahai Abu Dzar, jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijrah).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Adakah boleh menggabungkan tiga puasa serentak?
Jawapannya boleh menggantikan puasa wajib dengan beberapa puasa sunat yang lain serentak. Berbeza pula dengan puasa wajib seperti puasa ganti Ramadan dan puasa nazar. Kedua-duanya tidak boleh dilakukan serentak.
Cara lafaz niat bagi puasa ganti (wajib) dan puasa-puasa sunat yang digabungkan:
“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal, dan puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
Namun anda perlu berhati-hati kerana niat bagi puasa ganti perlu dilakukan sebelum masuk waktu Subuh pada hari tersebut seperti mana anda berniat puasa pada bulan Ramadan, berbeza dengan puasa sunat yang boleh diniatkan sebelum masuk waktu Zuhur. Sebaiknya niatkan puasa-puasa itu pada malam sebelumnya.
Hari putih akan bermula esok, jadi selamat berpuasa!
No comments: