Ads Top

Benarkah Merasa Secubit Garam Sebelum Makan Adalah Sunnah?

Pernahkah anda mendengar anjuran mengecap atau merasa garam sebelum makan?

Amalan yang kononnya adalah sunnah daripada Rasulullah SAW ini dikatakan mampu memberi manfaat kepada tubuh badan kerana dapat menghilangkan racun jika ada.

Ia disandarkan kepada hadis daripada Ali bin Abi Thalib R.anhu, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada beliau,

وإذا أكلت فابدأ بالملح واختم بالملح؛ فإن في الملح شفاء من سبعين داء، أولها الجذام والجنون والبرص

“Jika kamu makan, mulailah dengan mengecap garam dan akhiri dengan makan garam. Kerana dalam garam terdapat ubat bagi 70 penyakit, yang pertama lepra, gila dan kusta…”

Apabila dibahaskan, hadis ini sebenarnya mempunyai sejumlah perawi yang dinilai dhaif (lemah) dan tidak dikenali.

Manakala seorang perawi yang meriwayatkan hadis ini yang bernama Hammad bin Amr pula dinilai pendusta oleh Imam al-Juzajani. Ia sama dengan kata-kata Ibnu Hibban yang mengatakan bahawa Hammad adalah orang yang memalsukan hadis.

Banyak lagi komen-komen negatif yang diberikan terhadap beliau daripada para ulama hadis. Selain itu hadis yang mengatakan bahawa garam adalah penghulu segala lauk pauk juga adalah hadis yang dhaif.

Begitulah disiplin dalam ilmu hadis, sesuatu ‘hadis’ boleh gugur hanya dengan melihat kepada orang yang meriwayatkannya. Jika dia adalah seseorang yang tidak boleh dipercayai dan suka menipu, sudah pasti kata-katanya berkaitan hadis tidak diterima bagi menjaga kesucian hadis itu sendiri.

Justeru, amalan merasa garam terlebih dahulu sebelum makan bukan amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan tidak boleh disandarkan kepada baginda SAW. Kami tidak menolak jika ada kajian yang terbukti menunjukkan bahawa amalan makan garam adalah bagus untuk kesihatan, namun untuk disandarkan kepada Nabi SAW, itulah perkara yang dielakkan.




No comments:

Powered by Blogger.