Allah Menarik Ilmu Dengan Mematikan Ulama
Ulama merupakan pewaris nabi dan para sahabat. Mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan dalam bidang yang dikuasai. Jika seseorang itu meletakkan jawatan, pasti esok atau lusa akan ada penggantinya. Namun, jika hari ini seorang ulama meninggal dunia, pasti ia akan dikenang sepanjang masa dan sukar untuk mencari penggantinya.
Sejarah menunjukkan bahawa jika ada ulama yang meninggal dunia, tiada yang dapat menggantikan mereka. Jika ada pun, pasti tingginya ilmu dan penguasaan mereka terhadap sesuatu adalah tidak sama.
Alim atau arif terhadap ilmu pengetahuan bermaksud golongan yang menguasai sesuatu bidang. Merekalah yang digelar ulama. Sebahagian daripada mereka telah mewakafkan kehidupannya untuk meraih ilmu sebanyak mungkin dan menyumbang pula kepada orang ramai. Disebabkan itu, kedudukan dan taraf mereka adalah cukup tinggi dan istimewa di sisi Allah.
Justeru, apabila dikhabarkan akan kematian ulama, ia adalah musibah terbesar buat manusia. Ketinggian ilmu dan mutiara yang telah diperoleh mereka turut wafat bersama.
Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin Al-As RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hambaNya. Tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu, orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka, mereka sesat lagi menyesatkan.”(Hadis Riwayat Bukhari, no. 100)
Inilah yang dikatakan bahawa salah satu tanda Allah akan mencabut ilmu dan pengetahuan adalah melalui kematian para ulama.
Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang, sama ada Islam atau bukan Islam, tua atau muda dan bekerja atau penganggur.
Ada orang yang bekerja akan berusaha untuk menghadiri kuliah selepas maghrib di masjid rumahnya. Ada pelajar yang sibuk berpersatuan, mendapatkan ilmu melalui sahabatnya yang rajin membaca kitab. Ada suri rumah yang sentiasa cuba mendengar kuliah melalui corong radio walau dalam kesibukannya menguruskan rumah tangga.
Allah akan memberikan seribu satu cara untuk anda yang sentiasa berusaha ke arahNya dan ilmu yang ada. Walau dilanda kesibukan, namun pasti akan ada jalannya. Asalkan kita mempunyai niat yang baik untuk meraih ilmu. Jangan kita sendiri yang menolak ilmu itu. Nescaya Allah sendiri yang akan memberi hijab kepada kita.
Abdullah bin Mas’ud berkata: “Wajib atas kalian untuk menuntut ilmu, sebelum ilmu tersebut diangkat. Hilangnya ilmu adalah dengan wafatnya para ulama. Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, sungguh orang-orang yang terbunuh di jalan Allah sebagai syuhada, mereka sangat menginginkan agar Allah membangkitkan mereka dengan kedudukan seperti para ulama. Sungguh, tidak ada seorang pun yang dilahirkan dalam keadaan sudah berilmu. Ilmu itu tidak lain perlu diperoleh dengan cara belajar.” (Al-‘Ilm Ibnu Qayyim, hal. 94)
Justeru, sebagai muslim yang menyedari tingginya kedudukan mereka yang berilmu, maka berusahalah untuk memperoleh ilmu. Takutlah dengan hilangnya ilmu apabila terdengar kematian para ulama.
Wallahu a’alam.
No comments: