Ads Top

Tanya Kalau Tak Tahu

Budaya bertanya dikatakan sangat kurang dalam masyarakat yang tinggal di Asia. Sebuah soal selidik telah dijalankan ke atas seramai 270 orang pelajar di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia bagi mengetahui sebab mengapa pelajar takut bertanya dalam bilik kuliah.

Para pelajar sedar akan kepentingan bertanya soalan namun hasil soal selidik mendapati bahawa antara sebab para pelajar kurang bertanya adalah kerana mereka tidak tahu apa yang harus ditanyakan dan bimbang jika rakan-rakan berfikir bahawa mereka cuba menunjuk-nunjuk.

Kajian ini secara asasnya tidak dapat di ‘pukul ratakan’ kepada semua – ada juga segelintir daripada pelajar yang memang suka bertanya, atau bertanya bagi pihak rakan-rakan yang lain supaya lebih faham.

Apa pun, budaya bertanya ini bukan hanya untuk golongan pelajar yang sedang menuntut ilmu secara formal di institusi pendidikan sahaja, malah bagi sesiapa sahaja tidak kira umur atau latar belakang.

Bagaimana Islam Memandang Budaya Bertanya Soalan

Islam sangat menggalakkan budaya keilmuan dalam apa jua aspek yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Jika tidak, masakan ayat pertama yang diturunkan adalah suruhan ‘Iqra’.

Setelah Nabi SAW disuruh sebanyak tiga kali oleh Malaikat Jibril untuk membaca, Nabi SAW kemudian memberitahu bahawa baginda tidak tahu – akhirnya barulah baginda diajar membaca Al-Quran.

Mari kita lihat pula apa kata ilmuwan Islam tentang budaya ilmu dan bertanya ini.

Ibnu Abbad R.anhuma pernah ditanya, “Dengan apa kamu capai ilmu ini?”

Beliau menjawab:

بِلِسَانٍ سَؤُولٍ، وَقَلْبٍ عَقُولٍ

Maksudnya: “Dengan lidah yang banyak bertanya dan dari hati yang benar-benar berakal.” (Riwayat Ahmad dalam Fadha’il al-Sahabah – (2/970)

Manakala apabila Muawiyah bertanya kepada Daghfal bin Hanzalah al-Syaibani tentang kebijaksanaannya, beliau menjawab:

حَفِظْتُهُ بِقَلْبٍ عَقُولٍ، وَلِسَانٍ سَؤُوْلٍ، وَإِنَّ آفَةَ الْعِلْمِ النِّسْيَانُ

Maksudnya: “Aku hafaz ilmu ini dengan hati yang berakal dan lisan yang banyak bertanya. Sesungguhnya, rosaknya ilmu dengan lupa.” (Riwayat Ibn Abd al-Bar dalam al-Jami’ (531) dan al-Isti’ab (2/462) serta al-Baihaqi dalam al-Madkhal (428)

Abu Sulaiman al-Ghanawi pula berkata: “Bertanyalah kepada orang yang pandai, nescaya engkau akan menjadi pandai sepertinya”.

Akibat Daripada Tidak Bertanya

Pernah diceritakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang dalam musafir terkena batu sehingga kepalanya luka. Kemudian dia mengalami mimpi sehingga keluar mani.

Selepas terjaga dia bertanya kepada sahabat-sahabtanya, “Adakah kamu fikir ada keringanan bagiku untuk bertayammum?”

Para sahabat menjawab bahawa tidak ada keringanan bagi lelaki itu kerana dia masih mampu mendapatkan air. Lalu dia mandi dan kemudiaanya meninggal dunia.

Apabila diberitahu kepada baginda SAW menjawab dengan ancaman yang sangat tegas.

“Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.” (Riwayat Abu Daud, no. 336)

Lihat betapa besarnya kemudaratan daripada mengamalkan ilmu yang tidak tepat kerana tidak bertanya kepada orang yang lebih tahu.

Bentuk Pertanyaan Yang Dilarang

Namun, ada pula yang bertanya – bagaimana dengan larangan supaya tidak bertanya terlalu banyak dalam Islam.

Pada suatu hari Nabi SAW telah menyampaikan khutbah kepada para sahabat:

Maksudnya: Hai Manusia, sesungguhnya Allah fardukan ke atas kamu ibadat haji. Lantas bangun al-Aqra’ bin Habis seraya bertanya: “Adakah kewajiban ini pada setiap tahun hai Rasulullah? Lantas jawab Baginda SAW: “Jika aku katanya ‘Ya’, nescaya jadilah wajib, dan jika wajib nescaya kamu tidak dapat lakukan dengannya dan kamu tidak mampu untuk lakukannya. Haji itu sekali sahaja. Sesiapa yang menambahnya maka hukumnya sunat. Riwayat Imam Ahmad (2642), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8879) dan al-Daraqutni dalam Sunannya (204)

Manakala dalam lafaz Muslim disebut dengan tambahan:

ذَرُونِى مَا تَرَكْتُكُمْ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Tinggallah kepadaku apa yang aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu kerana banyaknya bertanya dan khilafnya mereka kepada para Nabi. Justeru apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah sesuai dengan kadar kemampuan kamu, dan apabila aku larang kamu daripada sesuatu maka tinggalkanlah. Riwayat Muslim (3321)

Pensyarah kepada kitab Sunan Ibn Majah berkata hadis ini menjadi dalil bahawa makruh bertanya dan dikeji. Tetapi sebahagian menganggap ia khusus pada zaman Nabi SAW sahaja. Ini kerana sesetengah persoalan mungkin boleh menyukarkan umat Islam melakukan sesuatu sedangkan kelonggaran telah diberikan.

Malah Syed Qutb pernah berpesan, supaya usah bertanya mengenai perkara-perkara yang telah dimaafkan dalam Islam, tidak difardukan oleh Allah SWT atau tidak dihurai secara terperinci. Hal ini supaya umat Islam mendapat keluasan dan kemudahan dalam beragama.

Pertanyaan yang dilarang sebenarnya adalah pertanyaan yang tidak bermanfaat dan boleh membawa kepada perselisihan, perpecahan dan pintu ragu-ragu.

Adapun pertanyaan yang boleh membawa kepada bertambahnya ilmu dan kefahaman adalah dibolehkan.

Kesimpulannya, niat harus dibetulkan apabila bertanya soalan. Ia juga tidak boleh dengan tujuan untuk merendah-rendahkan orang lain atau untuk menunjukkan diri sendiri lebih tahu. Bimbang perbuatan ini bakal menjatuhkan seseorang dalam perangkap riak dan menunjuk-nunjuk.




No comments:

Powered by Blogger.