Pemilihan Imam Solat Melalui Kriterianya, Bukan Ciri Fizikal
Dalam beberapa hadis ada diceritakan mengenai ciri-ciri dan kriteria yang perlu ada bagi seseorang lelaki atau perempuan ketika mengimami solat. Hal ini menunjukkan bahawa, seorang ketua itu sama ada ketua keluarga, pemimpin negara mahupun imam solat perlu dipilih berdasarkan kriteria yang betul.
Bukan semberono orang boleh menjadi ketua. Mereka yang dilantik untuk menjadi ketua atau pemimpin itu pastinya dipilih berdasarkan ciri-ciri yang tepat.
Rata-rata orang yang menjadi imam adalah sama ada memang sudah menjadi tanggungjawab mereka sama ada disebabkan pekerjaannya sebagai Imam Negara atau sebagai ketua keluarga. Namun, ada juga segelintir orang yang ditolak menjadi imam kerana sudah tiada lagi imam lain yang layak.
Kadang-kadang, kalau di kawasan kampung, rata-ratanya akan memberi peluang kepada anak muda yang berkelulusan sekolah agama atau tahfiz dan yang mempunyai pengetahuan Al-Quran yang bagus.
Sebenarnya, ia bukanlah amalan yang dibuat-buat kerana terdapat anjuran yang dinyatakan melalui hadis berkenaan kriteria yang betul dalam pemilihan imam.
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا
Maksud: “Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap kitab Allah (Al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan, maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap sunnah itu sama, maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula, dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 673)
Perihal ini ada dibicangkan menerusi kitab-kitab ulama mazhab Syafi’e berkenaan susunan mereka yang layak menjadi imam (jika tiada imam khusus), iaitu:
#1 – Yang paling fakih (yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat.
#2 – Paling baik bacaan Al-Quran
#3 – Menjauhi syubhah
#4 – Paling awal memeluk Islam
#5 – Yang mulia nasab atau keturunan mengikut turutan
#6 – Paling baik keperibadian
#7 – Bersih tubuh badan dan pakaian
Turutan ini boleh digunakan jika imam yang bertugas dan yang sudah dilantik, maka pilihlah orang yang ada di kalangan kalian itu mereka yang layak untuk mengimami solat tersebut.
Jika orang itu buta, mempunyai ciri fizikal yang kurang seperti rendah atau berkulit gelap, namun mempunyai syarat yang cukup untuk menjadi imam, maka ia adalah tidak mengapa kerana ciri fizikal itu tidak dikira sebaliknya yang diambil perhatian adalah kefakihannya terhadap agama.
Sedangkan Imam Ibn Maktum yang buta pernah menjadi imam. Baginda SAW pernah menggantikan beliau sebagai imam.
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَخْلَفَ ابْنَ أُمِّ مَكْتُومٍ يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ أَعْمَى
Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah menggantikan Ibn Ummi Maktum menjadi imam kepada orang ramai (dalam keadaan dia merupakan seorang yang buta).” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 595)
Oleh itu, menjadi imam ini bukanlah sesuatu yang boleh diukur melalui ciri fizikal namun berdasarkan kefakihannya.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: