Ads Top

Teliti Kebenaran Sebelum Anda Tekan Butang ‘Share’

Umar al-Khattab R.A adalah di antara sahabat Rasulullah S.A.W yang bersungguh-sungguh dan sangat berusaha untuk mendapatkan hadis nabi.

Namun ada juga sebahagian hadis yang tercicir daripada pengetahuan Umar al-Khattab R.A. Ada waktu ketikanya beliau tidak bersama dengan nabi.

Dan pada waktu tidak bersama dengan nabi ketika itulah beliau tidak mendengar hadis daripada baginda nabi sendiri. Misalnya hadis ‘Meminta Izin’ yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Kisah ini masyhur di antara Umar al-Khattab R.A sendiri dengan Abu Musa Al-Asyaari R.A.

Pada suatu hari, Abu Musa Al-Asyaari R.A telah datang ke rumah Umar al-Khattab R.A untuk berjumpa dengan Umar al-Khattab R.A. Bila sudah sampai di rumah Umar al-Khattab R.A, lantas Abu Musa Al-Asyaari R.A pun memberi salam dan mengetuk pintu rumah Umar al-Khattab R.A sebanyak 3 kali.

Selepas diberi salam dan diketuk pintu sebanyak tiga kali, langsung tiada jawapan. Wallahualam, mungkin pada ketika itu Umar al-Khattab R.A tengah sibuk atau membuat sesuatu hingga tidak sempat untuk menjawabnya.

Jadi selepas diketuk pintu 3 kali tiada jawapan, maka tanpa berlengah Abu Musa Al-Asyaari R.A pun pulanglah. Ketika Abu Musa Al-Asyaari R.A itu pulang, barulah Umar al-Khattab R.A pergi membuka pintu dan didapati Abu Musa Al-Asyaari R.A sudah tiada. Umar al-Khattab R.A sedar akan kedatangan Abu Musa Al-Asyaari dengan berkata:

“Bukankah itu suara Abdullah Bin Qais?”

Nama sebenar Abu Musa Al-Asyaari R.A adalah Abdullah bin Qais. Lalu Umar al-Khattab R.A pun menyuruh orang di rumahnya segera pergi panggil balik Abu Musa Al-Asyaari R.A.

Bila Abu Musa Al-Asyaari R.A itu kembali semula ke rumah Umar al-Khattab R.A selepas dipanggil, Umar al-Khattab R.A bertanya, mengapa Abu Musa Al-Syaari R.A pulang selepas ketuk pintu tiga kali, tunggulah seketika.

Maka dijawab oleh Abu Musa Al-Asyaari bahawa sesungguhnya beliau pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Barangsiapa yang datang ke rumah seseorang itu, ketuk pintu 3 kali, minta izin hendak masuk namun tidak diizinkan atau tiada jawapan, (maka) baliklah.”

Bila Umar al-Khattab R.A mendengar suatu hadis yang beliau sendiri tidak pernah mendengarnya lantas beliau berkata:

“Baik kamu bawa saksi yang pernah dengar hadis ini daripada Nabi S.A.W juga atau siap kamu!”

Umar al-Khattab R.A terkenal dengan ketegasan dan teliti orangnya. Beliau hendak memastikan bahawa hadis tersebut memang didengari oleh Abu Musa Al-Syaari R.A.

Umar al-Khattab R.A bukanlah hendak menuduh Abu Musa Al-Asyaari R.A berdusta, cuma Umar al-Khattab R.A ini seorang yang sangat berhati-hati ketika menyampaikan hadis.

Mendengar kata-kata Umar al-Khattab R.A itu telah membuatkan Abu Musa Al-Syaari berasa sedih. Beliau pun pulang ke rumah dan mencari mana-mana sahabat yang pernah duduk dan dengar bersama dengannya mendengar hadis tersebut daripada nabi suatu ketika mereka bersama dengan baginda nabi.

Dan akhirnya Abu Said Al-Qudri R.A pun datang berjumpa dengan Umar al-Khattab R.A dan berkata:

“Ya, aku persaksikan bahawa Abu Musa Al-Asyaari pernah mendengar hadis tersebut daripada Nabi S.A.W.”

Apabila mendengar jawapan itu, maka Umar al-Khattab R.A pun pergi memujuk Abu Musa Al-Asyaari R.A dan beliau berkata;

”Sesungguhnya bukanlah aku hendak menuduh kamu wahai Abu Musa Al-Asyaari R.A tidak jujur dan sebagainya. Cumanya aku berpendapat bahawa menyampaikan hadis daripada Rasulullah S.A.W itu satu benda urusan yang berat dan bukan satu perkara yang remeh.”

Kesimpulan, yang boleh kita ambil daripada kisah ini ialah, usah terlalu gopoh untuk segera menyebar mana-mana hadis yang didengari atau dijumpai tanpa menyemak akan kesahihan hadis tersebut terlebih dahulu.

Keduanya, begitulah caranya para sahabat meriwayatkan hadis sesama mereka dan kemudian hadis tersebut diturunkan ke generasi seterusnya iaitu tabien dan tabien kemudianya menyampaikan pula hadis tersebut kepada generasi seterusnya. Wallahualam.

Rujukan:
Antara Hadis Yang Tercicir Daripada Pengetahuan Saidina Umar Al Khattab (Dr. Kamilin Jamilin)




No comments:

Powered by Blogger.