Ads Top

Rasulullah S.A.W Juga Berteka-Teki

Ketika bersama dengan para sahabat, baginda Nabi S.A.W sentiasa mempelbagaikan pendekatan tarbiah baginda untuk mengajar dan memberi kefahaman kepada para sahabatnya.

Rasulullah S.A.W mengajarkan kita pelbagai teknik dalam menyampaikan sesuatu ilmu. Kebiasaannya Rasulullah memberi ucapan secara terus ketika menerangkan sesuatu hukum atau membuat contoh secara praktikal seperti menggunakan ranting dan membuat garisan-garisan di tanah ketika menyampaikan ilmu kepada sahabat baginda.

Baginda juga turut memberi teka-teki untuk mengajak para sahabatnya agar sentiasa cerdas berfikir dan pada masa yang sama sentiasa mensyukuri nikmat dan pemberian Allah S.W.T.

Pada suatu hari, sewaktu Rasulullah S.A.W bersama dengan beberapa orang sahabat. Baginda telah memberi satu teka-teki kepada para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daun-daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang muslim. Apakah pokok tersebut?”

Para sahabat sedaya upaya cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah. Namun tiada siapa yang dapat memberi jawapan yang tepat. Abdullah bin Umar R.A yang turut berada di situ pada ketika itu dan juga merupakan orang yang meriwayatkan peristiwa tersebut telah berkata:

“Aku terfikir bahawa jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa.”

Mengapa Abdullah bin Umar R.A berkata sedemikian? Kerana beliau masih di usia kanak-kanak lagi pada ketika itu. Bila sahabat-sahabat yang lain tidak dapat memberi jawapan untuk teka-teki itu, lantas para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

“Apakah jawapannya wahai Rasulullah?”

Lantas baginda S.A.W pun memberi jawapannya dengan berkata:

“Kurma”

Sebenarnya Nabi boleh sahaja terus memberi jawapan tanpa perlu berteka-teki. Namun Nabi ingin mempelbagaikan pendekatan atau kaedah sewaktu dalam menyampaikan ilmu kepada para sahabat baginda.

Supaya para sahabat dapat berfikir mengapa nabi mengaitkan pokok kurma dengan sifat seorang muslim. Dan untuk pengetahuan, daun pokok kurma tidak pernah gugur kerana yang gugur ialah pelepahnya. Tapi apa kaitannya dengan sifat seorang muslim?

Iman Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menerangkan bahawa perumpamaan pokok kurma dengan seorang Muslim (dalam riwayat Bukhari dan Tarmizi menyebut mukmin) ialah isyarat yang menunjukkan banyaknya faedah pokok kurma.

Kurma rasanya enak, ketahanannya walaupun telah kering tetapi masih boleh dimakan. Manakala batang, pelepah dan daunnya boleh dimanfaatkan sebagai tiang, kayu api, tali dan sebagainya.

Demikianlah sifat seorang Muslim yang memiliki pelbagai kebaikan dengan ketaatan dan amalan-amalan solehnya seperti solat, zakat, sedekah, puasa serta akhlaknya yang mulia.

Ada juga yang berpandangan bahawa persamaannya terletak pada aspek sifat pokok kurma yang akan mati sekiranya dipotong kepalanya, sama seperti manusia yang akan mati sekiranya kepalanya dipotong.

Namun ada juga yang menyamakan kurma dengan manusia dalam aspek tidak mengeluarkan hasil melainkan apabila dilakukan proses pendebungaan pohon kurma jantan dengan pohon kurma betina sebagaiman manusia itu berkahwin.

Kesimpulan dari teka-teki berkaitan pohon kurma ini, dapatlah kita lihat bahawa baginda Nabi sebenarnya sedang mendidik para sahabat agar berfikir disebalik ciptaan tuhan dengan perumpamaan yang diberi oleh Nabi berkaitan pohon kurma dengan seorang Muslim. Wallahualam.

Rujukan:
Teka-teki Rasulullah (Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang)




No comments:

Powered by Blogger.