Perkataan ‘Ilahi’ Adalah Salah Satu Daripada 14 Maksud Cinta
(Perkongsian dalam video di atas telah disampaikan oleh Ustaz Nouman Ali Khan, dibawakan oleh IluvUAllah)
Dalam video di atas Ustaz Nouman Ali Khan bercerita tentang pengalamannya bertemu dengan seorang penganut agama Kristian yang berkata, bahawa Isa yang dipercayainya adalah ‘cinta’ sedangkan Tuhan yang dipercayai oleh orang Islam tidak menggambarkan cinta.
Namun menurut Ustaz Nukman, dalam bahasa Arab sebenarnya ada 14 perkataan yang menggambarkan cinta dengan perincian maksud yang berbeza-beza.
Salah satunya ialah ‘al-walah’ yang boleh difahami bahawa; jika seseorang yang kita cinta itu ada, maka kita akan berasa gembira, namun jika ia tiada kita tidak akan berasa gembira.
Ramai ahli kaji bahasa berpendapat bahawa perkataan ilah yang bermaksud Tuhan yang disembah itu juga berasal daripada perkataan ‘al-walah’. Bermakna, jika tidak ada Tuhan dalam hati, tidak ada kegembiraan sebenar yang dapat dirasa, tidak ada cinta sebenar yang dapat dirasa.
وَاِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ
“Dan Rabbmu adalah Rabb Yang Maha Esa, tidak ada ilah yang berhak diibadahi (dan disembah) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Baqarah, 2:163)
Ia seiring dengan kata-kata pengharapan yang sering diucapkan oleh ahli sufi iaitu,
‘الهي انت مقصودي ورضاك مطلوبي’
(Ilahi, anta maqsudi, wa ridhoka matlubi)
“Wahai Tuhanku, Engkau adalah puncak tujuanku, dan hanya redamu yang kudamba”
Kata Ustaz Nouman lagi, elakkan lah daripada menakut-nakut orang dengan hukuman dan azab Allah. Justeru, banyakkan bercerita tentang rahmat Allah.
Elakkan lah daripada mengajar anak-anak kecil contohnya – ‘Jika tidak sembahyang Allah akan marah’. Mengapa perlu ditekankan tentang azab dan hukuman sedangkan Allah mempunyai pelbagai lagi nama yang menggambarkan sifatNya yang Maha Melindungi, Maha Memberi Rezeki, Maha Mengampunkan dan Maha Penyayang.
Sesungguhnya cinta Allah lebih luas berbanding murkanya. Allah sendiri mengingatkan dalam satu riwayat melalui Rasulullah SAW yang berbunyi:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِى كِتَابِهِ – هُوَ يَكْتُبُ عَلَى نَفْسِهِ ، وَهْوَ وَضْعٌ عِنْدَهُ عَلَى الْعَرْشِ – إِنَّ رَحْمَتِى تَغْلِبُ غَضَبِى »
Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW, ia berkata, “Tatkala Allah menciptakan makhlukNya, Dia menulis dalam kitabNya, yang kitab itu terletak di sisiNya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmatKu lebih mengalahkan kemurkaanKu.” (HR. Bukhari no. 7404 dan Muslim no. 2751)
Tidak ada cinta yang lebih besar yang dapat mengatasi cinta Allah. Tidak ada keampunan yang lebih menyeluruh yang dapat diberikan oleh seseorang melainkan hanya daripada Allah. Sebutlah nama Allah dengan hati penuh pengharapan bahawa Allah akhirnya akan mengurniakan rasa cinta yang sebenar dalam jiwa kita.
No comments: