Ads Top

Merebut ‘Unta Merah’ Di Jepun

“Jepun seumpama sebuah padang ragut hijau yang sangat subur. Penghuninya pula jutaan unta merah yang sangat bernilai harganya. Seekor unta merah dianggarkan bernilai hampir RM 1 juta dan boleh diandaikan seperti sebuah kereta Ferrari pada zaman ini. Alangkah beruntungnya kita semua jika mampu memiliki sebanyak mungkin unta merah ini sebelum dijemput Allah ke alam barzakh.”

Itu dialog yang kami gunakan ketika memberi galakan sesama kami dalam ziarah dakwah ke Jepun yang lalu. Bandingan pahala unta merah itu dijanjikan Rasulullah S.A.W dalam sebuah sabda baginda:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga pada orang Arab)Sahih al-Bukhari

Apabila dikelilingi oleh majoriti bukan Islam, baru terasa betapa kami masih jauh daripada kerja dakwah berbanding Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Bahkan Musyrikin Quraysh pada zaman nabi sendiri mengakui “hampir goncang” tiang akidah berhala mereka dek kesungguhan nabi dalam berdakwah. Pengakuan mereka itu direkodkan Allah dalam firman-Nya:

إِنْ كَادَ لَيُضِلُّنَا عَنْ آلِهَتِنَا لَوْلَا أَنْ صَبَرْنَا عَلَيْهَا وَسَوْفَ يَعْلَمُونَ حِينَ يَرَوْنَ الْعَذَابَ مَنْ أَضَلُّ سَبِيلًا
(Musyrikin Quraysh mengakui) “Sebenarnya dia (Muhammad) hampir dapat menyesatkan kami daripada (penyembahan) tuhan (berhala) kami (kerana usahanya berterusan menyebar dakwah Islam), jika tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya”. Dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya. Surah al-Furqan 25:42

Baru kami sedar betapa mereka sebenarnya sangat hebat dalam kerja dakwah. Bayangkan, titik mula mereka adalah ‘kosong’ tetapi selepas hampir 1500 tahun Islam sudah tersebar sejauh mata memandang. Umpamanya, di mana ada oksigen maka di situ ada Islam.

Saya percaya, jika Rasulullah S.A.W dan generasi sahabat masih hidup, pasti banyak negara akan jatuh tersungkur berlutut mempertuhankan Allah dek seruan dakwah mereka.

Pun begitu, kita perlu bersikap praktikal bukannya dilamun nostalgia silam. Mereka sudah melakar sejarah harum dalam dakwah, apa pula yang kita ukir? Malang benar jika kita hanya tahu menambah musuh sesama yang sudah Muslim dan gagal mempamer cereka indah untuk yang belum Islam.

Semasa di Jepun, pasukan kami sempat bertemu beberapa Muslim Jepun yang dipertemukan hidayah dengan berbagai jalan yang unik.

Antaranya seorang Cina Malaysia yang berasal dari Kedah. Lama dia hidup di Malaysia, namun dijamah hidayah di Jepun. Mengapa hidayahnya ‘dijadual-lokasikan’ Allah di Jepun, sebuah negara bukan Islam?

Adakah Muslim Malaysia tidak berjaya memasarkan Islam kepadanya sehingga pemasaran Islam Jepun lebih menarik minatnya?

Apa pun, ini bukti keajaiban hidayah Allah. Ia tiba tanpa mengira lokasi dan waktu. Lihat sahaja kisah sahabat terbilang ‘Amru bin al-‘As R.A. Dia kenal nabi S.A.W sejak muda dan lama juga berada dalam gelanggang yang salah melawan nabi.

Setelah Musyrikin Quraish mengalami kekalahan teruk dalam perang Ahzab pada tahun ke lima Hijri dan pengaruh Islam semakin kuat beliau pergi ke Habsyah untuk bernaung di bawah pengaruh al-Najasyi.

Ketika masuk bertemu al-Najasyi, ‘Amru terserempak dengan utusan Rasulullah S.A.W dari Madinah iaitu ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri.

Setelah menghadap al-Najasyi, beliau meminta izin untuk membunuh utusan Rasulullah S.A.W yang dianggapnya sebagai duri dalam daging. Al-Najasyi sangat marah, lalu beliau memukul hidung ‘Amru dengan kuat. Sejurus itu al-Najasyi berkata:

أَتَسْأَلُنِي أَنْ أُعْطِيَكَ رَسُولَ رَجُلٍ يَأْتِيهِ النَّامُوسُ الْأَكْبَرُ الَّذِي كَانَ يَأْتِي مُوسَى لِتَقْتُلَهُ قَالَ قُلْتُ أَيُّهَا الْمَلِكُ أَكَذَاكَ هُوَ فَقَالَ وَيْحَكَ يَا عَمْرُو أَطِعْنِي وَاتَّبِعْهُ فَإِنَّهُ وَاللَّهِ لَعَلَى الْحَقِّ وَلَيَظْهَرَنَّ عَلَى مَنْ خَالَفَهُ كَمَا ظَهَرَ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ وَجُنُودِهِ قَالَ قُلْتُ فَبَايِعْنِي لَهُ عَلَى الْإِسْلَامِ قَالَ نَعَمْ فَبَسَطَ يَدَهُ وَبَايَعْتُهُ عَلَى الْإِسْلَامِ ثُمَّ خَرَجْتُ إِلَى أَصْحَابِي وَقَدْ حَالَ رَأْيِي عَمَّا كَانَ عَلَيْهِ وَكَتَمْتُ أَصْحَابِي إِسْلَامِي ثُمَّ خَرَجْتُ عَامِدًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأُسْلِمَ
(Wahai ‘Amru bin al-‘As) adakah kamu meminta izin dariku untuk membunuh wakil kepada seorang lelaki yang pernah didatangi oleh Malaikat Penyimpan Rahsia yang Besar (Jibril A.S) yang pernah mendatangi Musa?” Aku (‘Amru) bertanya: “Wahai Tuanku, adakah benar begitu perihalnya?” Al-Najasyi berkata: “Aduhai malangnya kamu wahai ‘Amru! Dengarlah cakapku ini dan hendaklah segera kamu ikutilah dia (Muhammad S.A.W) “Kerana demi Allah dia memang berada atas kebenaran.” Dia juga akan mengalahkan semua penentangnya sebagaimana Musa mengalahkan Fir’aun dan bala tenteranya.”.. Al-Najasyi kemudiannya menghulurkan tangannya dan aku (‘Amru) berjanji setia dengannya untuk menerima Islam. Setelah aku keluar bertemu temanku, hasrat asalku sudah hilang dan aku menyembunyikan pengislamanku dari pengetahuan mereka. Kemudian, setelah pulang ke Mekah aku pergi bertemu Rasulullah untuk mengisytiharkan pengislamankuMusnad Ahmad

Al-Najasyi tidak mendapat rezeki bertemu Rasulullah S.A.W walaupun beliau memeluk Islam di tangan Ja’afar bin Abi Talib selaku ketua Muhajirin Mekah di Habsyah.

Oleh itu, pangkat al-Najasyi hanyalah seorang tabi’in atau murid Sahabat. Walaupun begitu, beliau berjasa besar memecahkan ego kufur ‘Amru bin al-‘As yang membawa kepada pengislamannya.

Inilah keajaiaban hidayah kurniaan Allah. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja, Malaysia atau Jepun.

Letakkan sasaran anda agar dapat mengumpul sebanyak mungkin pahala unta merah sebelum dijemput Allah ke alam barzakh.

Pahala unta merah bukan hanya di Jepun tetapi boleh muncul di seluruh dunia asal sahaja ada usaha membawa semua manusia ke dalam istana Islam.

Jika tak mampu melakukannya secara individu, gabungkan tenaga, harta dan doa agar usaha memacu kenderaan dakwah dapat digerakkan selaju mungkin dalam memburu si unta merah sebagaimana kejayaan yang pernah dilakar generasi awal Islam. Insya-Allah.




No comments:

Powered by Blogger.