Gerunlah Akan Hari ‘Panggil Memanggil’
Salah satu nama hari kiamat yang disebut al-Quran, antaranya ialah hari penyesalan :
وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman. Surah Maryam 19:39
Dalam ayat lain hari kiamat juga disebut sebagai hari mandul tanpa malam atau hari yang tiada kebaikan (Tafsir Ibn Kathir):
وَلَا يَزَالُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي مِرْيَةٍ مِنْهُ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ السَّاعَةُ بَغْتَةً أَوْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَقِيمٍ
Dan orang kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab (hari mandul tanpa malam) hari yang tidak ada kebaikan untuk mereka. Surah al-Hajj 22:55
Dalam Surah Ghafir Allah menceritakan bagaimana seorang lelaki beriman dalam kalangan pengikut Fir’aun menasihati kaumnya agar beriman kepada Allah. Dia terlibat dalam mesyuarat ketika Fir’aun mencadangkan agar nabi Musa A.S dibunuh.
Dengan bijak lelaki tersebut menghalang niat Fir’aun dengan sudut “pengurusan risiko” pada kedudukan atau populariti Fir’aun jika keputusan itu diambil. Kandungan “minit mesyuarat” itu direkodkan Allah:
وَقَالَ رَجُلٌ مُؤْمِنٌ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَكْتُمُ إِيمَانَهُ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ وَقَدْ جَاءَكُمْ بِالْبَيِّنَاتِ مِنْ رَبِّكُمْ وَإِنْ يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ وَإِنْ يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُمْ بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ
Dan (pada saat itu) berkatalah seorang lelaki yang beriman dari orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki (hanya) kerana dia menegaskan: “Tuhanku ialah Allah? – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. Surah Ghafir 40:28
Banyak lagi sudut nasihat yang diajukan lelaki ini. Antara nasihatnya adalah amaran akan ancaman azab pada hari manusia saling panggil memanggil:
وَيَاقَوْمِ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ
“Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit saling panggil memanggil (memohon pertolongan). Surah Ghafir 40:32
Agak pelik apabila dikatakan hari kiamat adalah hari panggil memanggil. Untuk memahami maksudnya kita perlu merujuk kepada ayat lain yang menceritakan peristiwa yang berlaku pada hari itu.
Panggilan yang berlaku pada hari kiamat adalah “panggilan menghina atau panggilan rindu yang belum kesampaian.”
Panggilan menghina menjadi suatu seksaan mental kepada penghuni neraka. Seksaan mental? Ya! Mengenang peluang beriman (semasa hidup di dunia) yang sudah berlalu tanpa kemampuan mengubahnya adalah suatu seksaan mental yang sangat dahsyat.
#1- Penghinaan Penghuni Syurga Terhadap Penghuni Neraka
وَنَادَى أَصْحَابُ الْجَنَّةِ أَصْحَابَ النَّارِ أَنْ قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّا فَهَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا قَالُوا نَعَمْ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌ بَيْنَهُمْ أَنْ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
Dan (apabila penghuni Syurga berada pada tempat masing-masing), mereka memanggil penghuni neraka seraya berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?” (Penghuni neraka) menjawab (dengan penuh sesalan): “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) antara mereka (kedua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang yang zalim”Surah al-A’raf 7:44
#2- Panggilan Penghinaan Penghuni A’Raf Kepada Penghuni Neraka
A’raf adalah tempat tertinggi antara syurga dan neraka di mana ditempatkan orang beriman yang sama berat amalan baik dan buruk.terhadap penghuni neraka.
Dan apabila dialihkan pandangan mereka (penghuni A’raf ke arah penghuni neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau tempatkan kami bersama orang yang zalim”. Dan penghuni Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”. (Mereka bertanya pula kepada ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang (penghuni syurga) yang kamu ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? Surah al-A’raf 7:47-49
#3- Panggilan Penghuni Neraka Yang Kehausan Serta Kelaparan
Panggilan ini dibalas hina oleh penghuni syurga:
Dan penghuni neraka memanggil penghuni Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu (dalam syurga itu)”. Mereka (penghuni syurga) menjawab (dalam keadaan menghina penghuni neraka): “Sesungguhnya Allah telah haramkan keduanya kepada orang kafir” Surah al-A’raf 7:50
#4- Panggilan Rindu Yang Belum Kesampaian Oleh Penghuni A’Raf
وَبَيْنَهُمَا حِجَابٌ وَعَلَى الْأَعْرَافِ رِجَالٌ يَعْرِفُونَ كُلًّا بِسِيمَاهُمْ وَنَادَوْا أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَمْ يَدْخُلُوهَا وَهُمْ يَطْمَعُونَ
Dan antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raf “(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raf itu ada sebilangan orang lelaki yang mengenal setiap seorang (dari penghuni Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun memanggil penghuni Syurga (dengan memberi salam, katanya): Salam sejahtera kepada kamu. Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya. Surah al-A’raf 7:46
Subhanallah! Situasi panggil memanggil ini belum berlaku tetapi sudah disebut oleh Allah sebagai suatu perkhabaran ghaib untuk kita teladani. Sungguh! Hari kiamat adalah hari panggil memanggil, cuma apa pilihan kita semua?
Adakah menjadi orang yang dipanggil hina atau dipanggil dengan mulia? Jika mahu menjadi penghuni syurga yang dipanggil dengan mulia, maka berusaha mencapai ciri penghuni syurga semasa di dunia ini dengan sepenuh jiwa dan raga.
Semoga kita semua bakal bertegur-sapa dan panggil memanggil dengan mulia dalam syurga pada hari kiamat kelak. Amin!
No comments: