Ads Top

Impian Aina Abdul Hasilkan Album Penuh Akhirnya Jadi Realiti Menerusi IMAJI

Menjadikan kecemerlangan sebagai sandaran utama, singer-songwriter beridentiti estetik yang memiliki keampuhan vokal di kelas tersendiri, Aina Abdul terus melebarkan sayap dalam kembara seni dengan melancarkan album sulung berjudul ‘IMAJI’ terbitan Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd secara digital.

Dalam bidang penulisan puisi, ‘IMAJI’ bermaksud susunan kata yang dapat memberi gambaran jelas seolah-olah efek khayalan sehingga pembaca mampu untuk turut sama merasa, melihat dan mendengar emosi sebenar yang ingin diungkapkan oleh penulis.

Oleh itu, pemilihan judul ‘IMAJI’ sebagai simbolik kepada keseluruhan tema penceritaan untuk menterjemahkan seribu satu rasa bagi kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini dilihat cukup tepat dan sempurna kerana setiap lagu mempunyai kisah dan emosi yang ingin disampaikan.

Album ‘IMAJI’ menghimpunkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina Abdul sepenuhnya termasuk single ‘Jangan Mati Rasa Itu’ yang baru sahaja dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

Selain mengetengahkan irama balada yang memang sinonim dengan Aina Abdul, album ini turut bereksperimen dengan genre yang lebih rancak seperti pop dan juga alternatif indie bagi menyuntik kelainan demi menerjah jiwa peminat.

Mengulas lanjut mengenai album ‘IMAJI’, Aina Abdul berkata, “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, Aina akhirnya berjaya merealisasikan impian sekian lama terpendam untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri.

“Setiap lagu yang dihasilkan adalah intepretasi Aina terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai, dihargai dan sebagainya. ‘IMAJI’ juga adalah hadiah hari jadi paling bermakna dalam diri saya sebagai penyanyi.”

Penerbitan album ini bukan sahaja disifatkan sebagai sebuah kepuasan peribadi yang cukup manis buat Aina, malah ia juga adalah tanda penghargaan dan buah tangan kepada peminat setia yang sudah lama menanti kemunculan album sulungnya.

Ujarnya, di sebalik kecemerlangan yang berjaya dilakar, saya banyak berdepan laluan sukar sepanjang 9 tahun perjuangan untuk mengukir nama sebagai ‘Aina Abdul’. 

Jelasnya lagi, jika disorot kembali pelbagai ranjau dan duri, kritikan dan pujian yang diterima, dia bersyukur dengan pengalaman tersebut kerana ia bukan sahaja mematangkan, malah turut memberi kekuatan kepada diri saya untuk bekerja keras dan terus berkarya secara jujur bagi meletakkan bakat yang dianugerahkan kepada saya di tempat yang betul.

“Secara peribadi, saya telah meletakkan piawaian yang tinggi untuk album ini kerana ‘Aina Abdul’ merupakan seorang yang amat menitikberatkan soal mutu, kualiti muzik, bunyi dan gubahan dalam setiap karya ciptaan saya. 

“Saya terlibat dalam setiap aspek pembikinan album ini demi memastikan produk akhir betul-betul berkualiti dan kena dengan cita rasa saya.

“Saya berharap agar para peminat akan menyukai ‘IMAJI’ seperti mana saya sendiri menyukainya. Semoga album ini dapat membantu untuk mengukuhkan lagi posisi saya sebagai komposer dan penyanyi dalam industri muzik sekaligus menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni di masa akan datang, Insya-Allah,” ujarnya.

Menurut Aina, pihak pengurusannya juga sudahpun mengatur pelbagai rangka strategi untuk mempromosikan album berkenaan yang akan dibuat secara berperingkat termasuklah mengeluarkan album ‘IMAJI’secara fizikal. – KopiPlanet.com

The post Impian Aina Abdul Hasilkan Album Penuh Akhirnya Jadi Realiti Menerusi IMAJI appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.