DSV Menang Kes Hak Penjagaan Anak, Belum Tiba Masa Sesuai Mereka Jumpa Bapa Kandung
Usahawan selebriti Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (DSV) telah memenangi kes berkenaan hak penjagaan kedua-dua anaknya iaitu Nur Edlynn Zamilleen, 16, atau lebih dikenali sebagai Cik B dan Eric Zaquan (Kacak), 14.
Menerusi perkongsian video di Instagram, DSV turut meluahkan rasa syukurnya apabila keputusan yang dibuat telah berpihak kepadanya.
“Atas doa semua kes tidak dipanjang-panjangkan dan Alhamdulillah keputusan itu atas budi bicara Yang Arif. Saya selama ini tiada halangan untuk beri kebebasan kepada Cik B dan Kacak untuk berjumpa dan berhubung (bapa kandung), tetapi keadaan tidak mengizinkan.
“Jadi ia berpanjangan tetapi dipendekkan kini hak penjagaan hadanah itu jatuh kepada saya. Cuma buat masa ini Cik B dan Kacak atas budi bicara kehendak dan kemahuan mereka, buat masa ini belum masa sesuai berjumpa ayah kandung mereka atas sebab-sebab tertentu,” jelasnya.
Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan membuat keputusan mengenai tuntutan hak penjagaan anak ahli perniagaan itu yang difailkan oleh bekas suami, Mohd Amin Yasin pada November lalu.
Menerusi keputusan tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan bekas suaminya untuk tidak mengganggu kedua-dua anaknya itu sekiranya mereka belum bersedia untuk berhubung dengan bapa mereka.
Ujar beliau, dia semahu-mahunya kedua-dua anaknya itu menghubungi bapa mereka sendiri dan mereka boleh berhubung sebulan sekali supaya tidak putus silaturrahim.
Jelasnya, atas sebab-sebab tertentu, biarlah kedua-dua anaknya itu tidak berjumpa secara in-person (bersemuka) dengan bapa mereka terlebih dahulu.
“Memang saya rayu kepada mahkamah supaya kes ini tidak berpanjangan dan keputusan diberikan hari ini demi memudahkan semua pihak.
“Alhamdulillah, saya lega kerana keputusan ini tidak menganggu emosi Cik B dan Kacak,” ujarnya.
Sebelum ini, Mohd Amin yang juga seorang peniaga diwakili peguam Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan hadanah pada 3 November lalu iaitu hak lawatan, bermesra dan bermalam bersama anak-anak.
Mohd Amin sebelum ini menyatakan kali terakhir dia bertemu dengan anak-anaknya pada Mei 2018. Mohd Amin berkahwin dengan Vida pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata, namun anak pertama dan kedua mereka meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah di Ipoh, Perak pada 3 Ogos 2013. – KopiPlanet.com
The post DSV Menang Kes Hak Penjagaan Anak, Belum Tiba Masa Sesuai Mereka Jumpa Bapa Kandung appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: