Dikatakan Bersandarkan Paras Rupa, Sophia Albarakbah Akan Cuba Perbaiki Lagi Lakonan
Ketika ini, Sophia Albarakbah antara pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan semakin dikenali ramai.
Mula dikenali ramai ketika berlakon dalam filem Mimaland, namanya semakin dikenali ramai dengan kemunculannya dalam beberapa lagi produk seperti filem Pasal Kau dan drama bersiri Tercipta Satu Ikatan.
Memiliki raut wajah yang cantik, ternyata sudah ada cakap-cakap nakal yang mengatakan pelakon itu hanya bersandarkan paras rupa semata-mata.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, Sophia mengakui bahawa lakonannya ketika ini belum lagi betul-betul bagus.
“Saya memang menyedari tentang perkara tersebut, tetapi saya masih lagi baharu dalam bidang lakonan ini. Lagipun bakat lakonan boleh diasah dan saya akan cuba tingkatkan mutu lakonan.
“Apapun sekarang ini yang lebih penting adalah saya akan terus belajar untuk perbaiki lagi segala kelemahan serta mencari lebih banyak pengalaman dalam dunia lakonan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon memberitahu dia kini muncul dalam drama terbaharu TV3 berjudul Hadiah Dari Tuhan yang sudah ditayangkan sejak 30 Disember lalu.
Ujarnya, dalam drama tersebut dia memegang watak sebagai Bella iaitu seorang gadis dari keluarga T20 yang berhadapan dengan kehidupan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Sudah tentu saya rasa gembira kerana dapat berlakon dengan pelakon-pelakon hebat dalam drama ini.
“Mengenai cabaranya pula kebanyakan babak-babak dalam filem ini memerlukan kami untuk memakai topeng, namun ia bersesuaian dengan jalan cerita,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Dikatakan Bersandarkan Paras Rupa, Sophia Albarakbah Akan Cuba Perbaiki Lagi Lakonan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: