Ads Top

Adakah Sah Solat Jika Tertinggal Selawat Pada Tahiyyat Awal

Bacaan tahiyyat yang disebut sebagai tasyahud yang merujuk kepada bacaan dua kalimah syahadah.

Bacaan tasyahud akhir mengandungi 3 penghormatan dan 2 kalimah syahadah; iaitu penghormatan kepada Allah, penghormatan kepada Nabi Muhammad dan pernghomatan kepada hamba Allah yang soleh.

Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pula adalah termasuk dalam rukun solat sebagaimana yang disebut dalam kalam Allah yang bermaksud:

Mafhum: “Sesungguhnya, Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzab, 33:56)

Bagaimanapun, umum mengetahui, rukun solat adalah membaca selawat ke atas nabi pada tahiyyat akhir. Jika tertinggal selawat pada tahiyyat awal pula, bagaimana dengan status solat?

Ada dua pendapat ulama berkenaan dengan selawat pada tahiyyat awal, iaitu;

#1 – Disyariatkan berselawat – Ini ialah berdasarkan pandangan daripada Imam Syafi’e dan juga beberapa ulama lain seperti Ibnu Hazm.

Imam Syafi’e menerangkan – “Membaca doa tasyahud dan selawat untuk Nabi SAW pada tasyahud pertama pada setiap solat yang memiliki dua tasyahud; tasyahud awal dan akhir selain solat Subuh. Jika lupa mengerjakan tasyahud awal atau membaca selawat di tasyahud awal, maka tidak wajib mengulangnya. Hanya disyariatkan melakukan sujud sahwi sebanyak dua sujud kerana meninggalkannya.” (Al-Umm 1/228)

#2 – Tidak membaca selawat tanpa sengaja dimaafkan – Jumhur ulama seperti Syeikh Muhammad bin Solih Al-Utsaimin RA mengatakan bahawa dimaafkan jika terlupa membaca selawat kerana ia tidak termasuk dalam rukun solat.

Kesimpulan

Bagaimanapun, untuk pendapat yang kuat dan diterima adalah berdasarkan kepada jumhur ulama yang menyebut bahawa dimaafkan jika terlupa membaca selawat pada tahiyyat awal dan tidak perlu melakukan sujud sahwi atau menambah rakaat solat.

Syeikh Muhammad bin Solih Al-Utsaimin menyebut – “Tidak disunnahkan berselawat pada tahiyyat awal. Inilah kesimpulan berdasarkan yang zahir pada hadis-hadis nabi. Kerana Rasulullah SAW ketika mengajar doa tasyahud kepada Ibnu Mas’ud dan ibnu Abbas, beliau hanya mengajarkan doa tasyahud sahaja tanpa selawat.” (As-Syarhul Mumti’, 3/225)

Justeru, tidak membaca selawat pada tahiyyat awal adalah dimaafkan dan solat tersebut masih sah.

Rujukan:
Hukum Tinggal Tahiyyat Awal

The post Adakah Sah Solat Jika Tertinggal Selawat Pada Tahiyyat Awal first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.