Ads Top

Patah Hati – Impak Psikologi Dan Bagaimana Merawatnya (Siri II)

Sambungan: Patah Hati – Impak Psikologi Dan Bagaimana Merawatnya (Siri I)

5 Teknik Mendepani Masalah Patah Hati

“The brokenhearted are the bravest among us – they dared to love.” 

Brené Brown

Jangan pernah takut untuk bercinta dan mencintai orang yang betul serta stabil kerana apa yang kita hadapi sebelum ini adalah sebagai sebuah perisai atau vaksin bagi memberi kita pengajaran supaya selektif dan lebih berhati-hati dalam membuat janji setia selepas ini.

Seperti kata Bang Muluk ketika memberi semangat kepada Zainuddin di dalam Novel Tenggelamnya Kapal Ven Dar Wijck; orang-orang besar yang kalah dalam percintaan akan menggunakan kekalahan itu sebagai pendorongnya untuk maju dalam politik, menulis syair, mengarang puisi dan dalam segenap bidang lainnya.

Maka disini ada beberapa cadangan dari seorang penulis Allison Abram bagi mendepani masalah patah hati;

#1 – Terima Kesakitan Yang Sedang Dialami Secara Alami

Apabila kita ditimpa ujian patah hati, seharusnya, kita perlu menerima kesakitan itu sebagai salah satu emosi negatif yang perlu diluahkan dalam pelbagai bentuk alami seperti menangis, menyendiri dan meluahkan pada orang lain yang lebih memahami.

Bukannya terus bercuti ke sana sini dengan tujuan untuk menafikan emosi negatif tersebut. Ini adalah sebuah tanggapan yang salah tetapi sering dipraktikkan masyarakat.

Walhal, semakin lama kita menafikan emosi ini, semakin lama juga untuk kita menganjakkan diri ke hadapan. Fizikal kita mungkin semakin berubah tetapi emosi kita masih menyimpan sejuta kesedihan yang tertahan. Ia tidak elok dari aspek psikologikal manusia.

#2 – Lepaskan Harapan Palsu

Seperti yang dinyatakan, orang yang mengalami putus cinta akan sentiasa mengulang siar tentang hubungan romantiknya bersama mantan sebelum ini, sedangkan ia adalah sebuah harapan yang kosong lagi menyakitkan.

Sama seperti orang yang sedang menjalani latihan penyembuhan dadah dan arak, mereka juga akan mengaktifkan signal yang sama dan sentiasa merinduinya.

Maka, jangan berlama-lama dengan mengingati kenangan lepas. Binalah harapan baru dengan menambahkan kenalan atau kumpulan lain yang lebih berkualiti.

#3 – Buang “Dadah” Cinta

Seperti penghidap dadah, perkara pertama yang perlu dikorbankan adalah memutuskan apa-apa yang memungkinkan kita untuk berpatah kepada kisah silam.

Jika masalah percintaan atau perhubungan, buang segala gambar, video, hadiah atau apa sahaja perkara yang boleh mengingatkan kepada si mantan serta ‘dibekukan’ sementara sehinggalah kita benar-benar sembuh.

Lagi satu, elakkan daripada mengikuti di media sosial buat sementara waktu kerana ini akan membantu kita untuk lebih segera dalam menerima takdir.

#4 – Berhati-Hati Dengan Terlalu Teringatkan Kebaikan Si Dia

Apabila kita berada di fasa patah hati, salah satu gejala psikologi yang akan gambarkan ialah kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan si dia. Dan ia biasanya akan mengaburi kelemahan atau kekurangannya.

Inilah yang membuatkan kita lebih cenderung meromantiskan sesebuah kisah sebagai alasan untuk mengharapkan si dia semula.

Jika tidak berhati-hati, ia akan lebih menyukarkan proses untuk menyembuhkan diri dan berganjak ke hadapan melalui kehidupan yang lebih indah tanpa si dia.

Jika kita sukar untuk membezakan baik buruk yang telah dilakukan, seeloknya jumpalah dengan ahli kaunselor yang bertauliah dan bertanya; rasionalkah kita dalam mengingati si dia?

Kaunselor akan membantu menstrukturkan semula pemikiran supaya lebih tersusun dan tidak samar-samar lagi.

#5 – Kenali Diri Sendiri, Elak Kritik Atau Salahkan Diri Sendiri

Kebiasaannya, setelah putus hubungan dengan pasangan, kita akan cenderung juga untuk menyalahkan diri atau mengkritik diri sendiri dengan bertanya kepada diri sendiri; “Kenapa Aku? Adakah Aku Tidak Cukup Baik?” atau “mungkin aku terlalu leka dalam mencintai dia?”

Dan provokasi sebegini akan selalu berulang selagi mana kita tidak mengamalkan mindfulness.

Apakah mindfulness? Ia adalah sebuah senjata psikologi manusia dalam menundukkan segala tekanan atau provokasi seperti kritik diri, marah, terlalu meromantiskan dan seumpamanya.

Ada teknik-teknik yang perlu diamalkan untuk menguasai mindfulness, antaranya sering berjumpa dengan orang yang empati dan bersoal jawab tentang rasionalkah pemikiran kita.

Tanamkan di dalam minda bahawa apa yang sudah berlaku mungkin salah dia atau salah kita, Kalau kita tidak belajar dari salah kita pun mungkin kita akan mengulangi benda yang sama.

Matthew Hussey (speaker Get The Guy) pernah berkata, apabila pasangan kita meminta untuk mengakhiri hubungan, kita perlu tanya kepadanya dalam keadaan tenang dan damai mengapa si dia tidak mahukan kita lagi.

Sebab jawapan yang jujur dari bekas pasangan kita akan menjadi sebuah post-mortem supaya kita akan lebih belajar tentang kelemahan diri sendiri serta tidak akan mengulanginya dalam perhubungan yang baru.

Cuma kita tidak perlulah terlalu mengkritik diri sendiri sehingga boleh memberi kesukaran untuk berganjak ke hadapan. Muhasabah itu perlu kerana inilah yang Islam juga ada ajarkan.

Rujukan:
3 Surprising Ways Heartbreak Impacts Your Brain, Guy Winch (2018)
How to Heal a Broken Heart: Guy Winch on Putting the Pieces Back Together, Ann Maturro (2020)
5 Essential Steps to Recovery from Heartbreak, Allison Abrams (2019)
The Five Stages of Grief, Christina Gregory, PhD (2020)
How do you help a grieving friend? Megan Devine (2018)

The post Patah Hati - Impak Psikologi Dan Bagaimana Merawatnya (Siri II) first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.