Patah Hati – Impak Psikologi Dan Bagaimana Merawatnya (Siri I)
Topik patah hati sudah tidak asing bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya kerana ia berlaku hampir pada diri setiap individu, jika tidak pernah berpengalaman sekalipun tentu ia berlaku pada orang sekeliling.
Banyak juga respon yang diterima dari orang yang mengambil berat akan kita apabila ditimpa musibah patah hati; ada yang memberi nasihat yang bersesuaian, ada yang sudi menemani dan meminjamkan telinga, tidak kurang ada juga kecaman dan tidak berempati malah semakin menghukum.
Allah swt ada berfirman :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Mafhum: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, 2:155)
Jelas ayat di atas ada merincikan beberapa sudut dalam hidupbahawa manusia yang akan diuji oleh Allah termasuklah masalah patah hati.
Kisah Barirah Dan Mughits
Kalau kita telusuri sirah terdahulu, kita akan dapati ada kisah pada zaman Nabi Muhammad SAW yang juga pernah berhadapan dengan situasi patah hati dalam percintaan. Saya banyak kali memetik kisah ini di dalam kebanyakan penulisan saya, iaitu kisah Mughits dan Barirah.
Dari ‘Ikrimah, dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata, sesungguhnya suami Barirah adalah seorang budak yang bernama Mughits. Aku ingat bagaimana Mughits mengikuti Barirah ke mana ia pergi sambil menangis (karena mengharapkan cinta Barirah). Air matanya mengalir membasahi janggutnya.
Nabi SAW bersabda kepada pakciknya, Abbas, “Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub betapa besar rasa cinta Mughits kepada Barirah namun betapa besar pula kebencian Barirah kepada Mughits.”
Baginda SAW mengajukan soalan kepada Barirah, “Andai engkau mahu kembali kepada Mughits?”
Barirah mengatakan, “Wahai Rasulullah, adakah engkau memerintahkanku?”
Nabi shallallahu ‘alaihi wa salalm bersabda, “Aku hanya ingin menjadi perantara (syafi’).” Barirah mengatakan, “Aku sudah tidak lagi memerlukan cintanya” (HR. Bukhari no. 5283)
Kisah ini mendatangkan banyak hikmah kepada kita bahawa watak Nabi Muhammad SAW bukan sekadar watak “agamawan” yang menyeru soal tauhid dan akhirat, bahkan Baginda juga membawa watak manusia yang memanusiakan segenap alam.
Maknanya Baginda seorang yang sangat prihatin dan rahmat kepada seluruh alam, walhal kalau mengikut kepada orang kebanyakan, mereka beranggapan masalah putus cinta ini merupakan perkara kecil, tetapi di sisi Baginda adalah sama besarnya dengan topik dan permasalahan lain.
Orang agama yang membaca kisah ini perlulah menjadi lebih empati dan prihatin, bukan menjadi penghukum tak semena-menanya.
Saya juga daripada kursus pengajian agama maka saya selalu berjumpa dengan orang yang berwatak agama yang mahu memberi nasihat percintaan tetapi sering tersalah memberi nasihat.
Pada kita, ia adalah sebuah nasihat, namun disisi orang yang tertimpa perkara itu, ia hanyalah kritikan dan kecaman yang diselaputi dengan dalil agama.
Di sini kita dapat lihat yang Islam tidak mengharamkan percintaan dan perhubungan romantik antara lelaki dan perempuan, namun Islam telah memberikan garis panduan untuk melunaskannya dengan cara yang terbaik seperti bertunang dan berkahwin.
Apakah Sains Disebalik Masalah Patah Hati?
Kita selalu tertanya, mengapa orang yang mengalami episod patah hati dalam hidupnya akan berubah serta merta dan sikapnya menjadi sedikit keterasingan serta kemurungan?
Berdasarkan kajian-kajian ahli psikologi, fasa ini ialah fasa penafian dan kejutan yang mana idea ini telah digagaskan oleh Kubler-Ross.
Pada fasa pertama ini segala dalil agama atau nasihat bersifat umum tidak akan terpakai sama sekali.
Menurut Megan Devine, ahli psikoterapi yang pakar dalam masalah kesedihan mengatakan bahawa orang yang sedang berdukacita hanya memerlukan teman di sisi bagi meraikan segala luahannya dan bukanlah ceramah agama atau nasihat sekalipun niat itu baik.
Jadi, kita akan lihat pula apakah yang berlaku di dalam otak kita menurut sains psikologi saat baru sahaja ditimpa musibah patah hati.
Menurut kajian Dr Guy Winch (ahli psikologi) yang menulis buku ‘How to Fix Broken Heart’ terbitan TedTalk merumuskan kepada tiga perkara:
#1 – Kesakitan Emosi Sama Dengan Kesakitan Fizikal
Semasa beliau membuat kajian menggunakan alat mesin FMRI (Functional Magnetic Resonance Imaging) pada bahagian otak, terdapat mekanisme kesakitan yang berlaku semasa seseorang sedang sakit pada bahagian fizikal dan perasaannya sama dengan kesakitan patah hati.
Tambahan lagi, orang yang sakit fizikal akan beransur dalam beberapa hari atau minggu, namun masalah patah hati boleh dirasai hingga berbulan lamanya.
#2 – Simptom Keterasingan (Withdrawal)
Dalam kajian menggunakan FMRI sekali lagi mendapati bahawa ada mekanisme di dalam otak yang akan aktif sama seperti orang yang sedang melakukan latihan untuk sembuh dari ketagihan dadah.
Perasaan menginginkannya semula membuak-buak dan amat sakit sama seperti penagih dadah atau arak.
Jadi mereka akan alami suatu fasa keterasingan dan masalah pada mood (perasaan). Pada waktu ini, segala urusan rutin harian yang sebelum ini baik sahaja akan bertukar lebih merudum prestasinya.
#3 – Pemikiran Tentang Ex Akan Selalu Mengganggu
Apabila kita mengalami masalah patah hati, otak kita akan keluarkan sebuah mekanisme pemikiran terhadap bekas pasangan.
Ia bertujuan untuk otak memberi isyarat bahawa kita perlu menjauhi manusia yang bersikap macam ini.
Cuma masalahnya kadangkala otak terlalu memberi signal sehingga sukar dikawal. Apabila berada dalam fasa ini, adalah lebih baik untuk mengehadkan penggunaan telefon pintar bagi mengelakkan daripada melihat segala gambar, video mahupun apa sahaja yang boleh mengimbau kenangan.
Ini kerana otak akan berulang-ulang menyiarkan memori itu sehingga berbulan malah bertahun lamanya.
Maka nasihat pakar psikologi ialah untuk membuang segala memori yang memungkinkan kita untuk mengulang siar pengalaman silam.
Sebab itu apabila kita mengimbau kenangan dengan mantan kekasih walaupun sudah bertahun dan memiliki pasangan yang stabil, kita masih boleh menangis atau sedih disebabkan fungsi ini yang telah diaktifkan oleh otak.
Guy Winch pernah berkata di dalam sebuah rancangan TedTalk, untuk melupakan atau move on berkaitan patah hati, kita memerlukan sebab-sebab yang kukuh.
Itulah senjata terbaik yang boleh membantu memerangi kita daripada sentiasa terperangkap di dalam fantasi yang tidak berkesudahan.
Antara sebab yang kukuh adalah dengan mempunyai hubungan sosial yang kuat dan berkualiti seperti ahli keluarga atau rakan sahabat handai.
The post Patah Hati - Impak Psikologi Dan Bagaimana Merawatnya (Siri I) first appeared on Tazkirah.
No comments: