Ads Top

Jangan Merendah-rendahkan Nikmat Yang Telah Allah Berikan

“Sikitnya dapat customer hari ni. Kenapa la tak ramai yang nak naik grab hari ni?”

“Dia belanja aku minum air je jauh-jauh aku datang jumpa dia!”

Cukup mudah untuk kita merungut dan mengeluh tatkala menghadapi situasi yang tidak kita sukai. Namun, awas, takut perbuatan ini adalah tanda bahawa kita sedang memperkecil-kecilkan nikmat yang Allah berikan. Bayangkan jika orang lain yang sedang dalam kesusahan mendapat nikmat yang sedang kita perkecilkan ini, alangkah gembiranya mereka dengan apa yang didapati.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu”. (HR Tirmidzi, no.2437 – Status hadis sahih)

Bukankah kita sudah sentiasa diingatkan supaya bersyukur atas apa jua nikmat yang diperoleh dalam hidup, sedikit atau banyak, besar atau kecil, semuanya adalah daripada Allah jua.

Allah berkata bahawa jika hambaNya bersyukur maka Dia akan menambah nikmat. Dan pertambahan nikmat ini boleh berlaku dalam banyak bentuk sama ada kesihatan, kebahagian, kekayaan dan lain-lain.

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat” (Ibrahim: 7)

Maksud bersyukur ini bukan bermakna kita berdiam diri dan menerima sahaja semua perkara. Ia tidak menafikan usaha yang masih perlu dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu. Ia juga bukan bermaksud kita perlu berdiam diri apabila dizalimi.

Syukur adalah keadaan di mana ia membuatkan hati kita tidak merungut-rungut atas rezeki dan nikmat yang diperoleh. Ia mengajar hati kita lebih tenang dan tidak berkeluh-kesah dengan apa pun yang dilalui dalam hidup. Semoga Allah mengurniakankita hati yang tahu bersyukur atas segala nikmatnya.

The post Jangan Merendah-rendahkan Nikmat Yang Telah Allah Berikan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.