Ads Top

Ingin Bertaubat, Apa Nak Buat Dengan Barang Yang Dicuri

Mencuri adalah sebuah dosa besar.

Dulu, semasa zaman persekolahan, pasti kita pernah diajar tentang perkara ini sama ada dalam kelas pengajian agama mahupun pendidikan Sivik, umum mengetahui bahawa mencuri adalah salah di sisi undang-undang.

Walau siapa pun anda atau dengan pangkat dan harta yang tinggi, itu tidak menghalalkan perbuatan tersebut.

Begitu juga matlamat yang diletakkan. Walaupun niat anda mencuri adalah untuk memberikan wang atau harta tersebut kepada golongan yang memerlukan, itu tetap dikira dosa dan salah di sisi undang-undang.

Orang kata, matlamat tidak menghalalkan cara. Jadi, apabila anda mengetahui ada golongan yang melakukan perkara sebegini, jangan disokong pula.

Sudah terang-terang bahawa perbuatannya salah. Jika mencuri juga berani dilakukannya, bagaimana dengan perbuatan buruk yang lain?

Seharusnya, apabila mendapat tahu ada orang yang berbuat demikian, kita perlu berani mencegahnya sebagai menunjukkan salah satu cara pencegahan kepada perbuatan tersebut.

Mafhum: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah Al-Baqarah, 2:188)

Cara Bertaubat Dari Mencuri

Walau besar mana dosa anda, Allah tetap akan menerima taubat anda jika anda bersungguh-sungguh dengan niat tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Dosa antara manusia akan terhapus dengan hanya meminta maaf kepada manusia yang dizalimi itu.

Jadi, kalau anda mencuri wang rakan sekolah anda, perlu untuk mencari orang tersebut dan menggantikan semua wangnya sekali gus meminta maaf kepadanya.

Sebagaimana sabda Baginda SAW:

Maksud: “Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain), maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu, kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2419)

Namun, bagaimana pula jika orang tersebut telah meninggal dunia? Sedikit gusar di hati kerana memikirkan cara yang betul untuk memohon kemaafan darinya.

Menurut perbincangan ulama, harta itu boleh disedekahkan kepada ahli warisnya. Berjumpalah dengan ahli waris dan meminta maaf bagi pihak anda kepadanya. Dalam masa yang sama, pulangkan harta atau barang yang telah anda ambil kepada ahli waris.

Wang tersebut adalah terpulang kepada pihak waris untuk melakukan apa kerana ia adalah haknya. Yang paling penting adalah tugas anda telah selesai dan semoga Allah menerima taubat anda.

Jika tiada ahli waris yang ditemui atau sukar untuk dikesan, ada cara yang kedua, iaitu anda boleh menyedekahkan harta tersebut atas nama pemilik dengan ikhlas kerana Allah.

Maksud: “Maka disedekahkan atas namanya dengan ikhlas, Dan Allah mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).” (Syarh Riyad al-Solihin, Bab Taubat, 1/89)

Kesimpulan

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui niat yang ingin kita lakukan. Jika kita benar-benar ingin bertaubat daripada dosa yang dilakukan, insyaAllah urusan tersebut akan dipermudahkan.

Jangan mulakan diri anda dengan perbuatan buruk mencuri kerana ia adalah amalan yang boleh berkembang menjadi besar. Mula-mula mencuri sedikit sahaja, lama-lama boleh jadi ia akan menjadi perbuatan kebiasaan. Nauzubillahi mindzalik.

Rujukan:
Musim.or.id
Pejabat Mufti Wilayah

The post Ingin Bertaubat, Apa Nak Buat Dengan Barang Yang Dicuri first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.