Ads Top

Bagaimana Menjaga Silaturrahim

Kita sering dengar, salah satu perkara yang boleh meluaskan rezeki dan memberi ganjaran syurga adalah dengan menjaga hubungan silaturrahim dengan baik dan sentiasa menjalin hubungan.

Bahkan, Allah SWT amat tidak menyukai golongan yang memutuskan hubungan silaturahim.

Maksud: “Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disamping yang sedang menantinya di hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi dan dosa memutuskan silaturrahim.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4211)

Namun, kita faham bahawa menjaga silaturrahim ialah mengekalkan hubungan baik. Elakkan daripada berlakunya pergaduhan. Jika ada salah faham atau hubungan yang hampir retak, maka cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya.

Jadi, apa pula yang dimaksudkan dengan menyambung silaturrahim? Imam Nawawi berkata:

Maksud: “Menghubungkan silaturrahim bermaksud berlaku ihsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.” (Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/201)

Melalui penyataan ini, menghubungkan silaturrahim dapat diertikan dengan konsep mengekalkan hubungan baik. Sama ada ia adalah hubungan sendiri atau juga hubungan orang sekeliling.

Contohnya, hubungan anda dengan kawan-kawan sendiri dan juga hubungan ibu bapa anda dengan adik beradiknya atau kawan rapatnya.

Ada juga sebuah dalil yang menyebut bahawa, salah satu cara yang boleh dilakukan untuk membalas jasa ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia adalah dengan menghubungkan hubungan silaturrahim mereka.

Maksudnya, walaupun mereka sudah tiada, kita boleh sahaja menziarahi kawan-kawannya bagi pihak mereka.

Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menghubungkan silaturrahim. Yang paling jelas disini ialah konsep yang perlu difahami, iaitu dengan mengekalkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Apa Yang Boleh Dilakukan

Apa yang boleh dilakukan untuk menghubungkan silaturrahim? Semakin menginjak dewasa, semakin banyak perkara yang perlu dilakukan kerana tanggungjawab dan amanah yang digalas.

Sehinggakan, ada orang beranggapan bahawa, kedewasaan membuatkan kita lebih jauh dengan sekeliling dan hanyak fokus kepada diri sendiri. Inilah yang membuatkan dunia dan bulatan kita semakin kecil.

Kalau dulu, sewaktu di zaman persekolahan, semua orang menjadi kawan kita. Kalau boleh, satu sekolah kita nak berkawan. Apabila melangkah ke alam universiti pula, dunia kita menjadi kecil sedikit.

Kawan-kawan sekolah pun sudah tidak rapat dan kita juga mempunyai kawan baru dari universiti. Apabila sudah bekerja pula, pergaulan kita sudah kurang. Kita hanya berkawan dengan teman sekerja. Ada juga yang kurang bergaul.

Lama-lama, dunia kita dengan orang sekeliling makin berkurang. Yang tahu, hanyalah apabila mendengar berita perkahwinan mereka atau kematian sahaja.

Jadi, sebelum semua itu menempa diri kita, apa kata kita cuba ubah kebiasaan dan pemahaman itu dengan beberapa perkara yang boleh dilakukan.

#1 – Sekali-sekala, tanya khabar kawan-kawan anda. Mula dengan orang yang rapat dengan anda. Sebenarnya, bukan sahaja kawan yang perlu diberi perhatian, namun saudara-mara anda sendiri.

Kadang-kadang, kita lebih rapat dan mengetahui hal ehwal kawan-kawan berbanding saudara mara. Inilah yang sepatutnya diseimbangkan. Perihal keluarga sebenarnya perlu dititikberatkan juga.

#2 – Reply story mereka walaupun ia sekadar berbentuk emoji. Kadang-kadang, kita tidak ada masa untuk diperuntukkan bagi bertanya khabar. Tapi kita lebih banyak mempunyai masa di media sosial.

Jadi, boleh sahaja membalas story mereka sama ada dengan kata-kata semangat, bertanya khabar atau sekadar memberi tanda emoji.

Sekurang-kurangnya mereka mengetahui bahawa tali silaturrahim dengan anda masih belum putus.

#3 – Memberi pertolongan. Ia tidak semestinya dilakukan dalam bentuk yang besar. Sekadar pertolongan yang kecil pun sudah memadai.

Contohnya, kawan anda bertanya di caption Instagram mengenai sesuatu. Boleh sahaja membalasnya jika anda mengetahui jawapan yang lebih kurang tepat atau yang bersesuaian.

#4 – Menziarahi jiran dan saudara. Jika punya masa, boleh sahaja menziarahi orang yang terdekat dengan anda. Yang paling dekat adalah jiran dan boleh juga kawan-kawan yang sekeliling anda.

Boleh juga menziarahi mereka saat mereka ditimpa kesulitan atau melahirkan anak. Itu tidak menjadi masalah asalkan ia tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

#5 – Memberi hadiah. Semua orang pasti menyukai hadiah. Apabila menerimanya, pasti hati kita sedikit berbunga dan merasakan bahawa ada lagi orang yang masih mengingati kita.

Tidak perlu hadiah yang bernilai tinggi kerana nilai itu dilihat dari hati. Jika tidak mampu pun, boleh sahaja memberi hadiah pada tarikh-tarikh tertentu seperti hari lahirnya. Atau boleh sahaja mengirim masakan atau makanan kepada mereka.

#6 – Mengirim doa. Ia merupakan perkara yang paling mudah untuk dilakukan. Dan doa yang paling baik ialah doa seseorang kepada saudaranya.

Saudara di sini bermaksud saudara seislam. Bila-bila masa sahaja anda boleh berdoa. Selepas solat, selain mendoakan untuk diri anda, apa kata ditambah doa kepada kenalan anda termasuk guru, sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga dan saudara seislam yang lain.

Doakan yang baik-baik agar kebaikan itu juga boleh berbalik kepada anda.

Kesimpulan

Yang paling penting ialah kita kena sentiasa berusaha untuk menjaga silaturrahim. Walaupun orang lain tidak pernah bertanya khabar kepada anda, tapi sekurang-kurangnya kita memulakan perkara tersebut dan sentiasa berusaha untuk bersikap ihsan terhadap hubungan yang ada.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.