Lima Lelaki Ditahan Kerana Terlibat Lumba Haram Kereta – Bernama
Penahanan itu berikutan rakaman video yang tular di laman sosial sejak semalam yang memaparkan saat perlumbaan haram itu dimulakan.
Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata suspek yang ditahan itu berumur antara 21 hingga 28 tahun termasuk dua yang tidak mempunyai lesen memandu kini ditahan di balai polis untuk disoal siasat.
“Pasukan penguatkuasaan trafik yang dipimpin Inspektor Kalista Demson berjaya mengesan kesemua suspek menerusi plat pendaftaran kereta yang mereka pandu dalam perlumbaan haram itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya dan kenderaan yang digunakan ditahan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 dan lesen memandu mereka dibatalkan.
Sumber: Bernama
No comments: