Persoalan Tentang Cinta
Beberapa hari lalu adik saya menghantar kepada saya pautan video di internet oleh seorang vlogger, Aiman Azlan, yang bercakap tentang soalan-soalan yang patut ditanya kepada bakal pasangan kita sebelum bertindak untuk mengahwininya.
Beliau mengatakan bahawa beliau pernah menghadiri beberapa kelas yang dianjurkan oleh organisasi seperti al-Maghrib Institute, al-Kauthar Institute dan Qurba Academy. Terdapat sesi di dalam kelas tersebut yang menyediakan banyak soalan-soalan yang perlu ditanya kepada seseorang supaya kita boleh buat keputusan sama ada kita ada persefahaman atau pun tidak dengan insan tersebut.
Hujah beliau adalah supaya perbualan berfokus dan tidak lari dari tujuan sebenar kita berjumpa. Pada saya itu adalah masuk akal, kerana apa gunanya datang bertemu seseorang semata-mata untuk bertemu janji atau bercinta sahaja.
Pasti ada tujuan akhirnya iaitu untuk ‘settle down’ bersamanya. Jika tiada tujuan untuk ke arah itu, maka tidak perlulah untuk bersusah payah bercerita tentang cinta yang membazir masa kita sahaja.
Persoalan Sekufu : Mengapa Perlu Sama?
Berdasarkan infografik daripada Utusan Online pada 14 November 2018 yang diambil dari statistic Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menyatakan bahawa punca utama perceraian ialah tiada persefahaman iaitu 52% daripada 17,000 kes.
Mungkin sebab itu jugalah Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan penulisan tentang maksud sekufu dalam laman webnya.
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
“Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”Riwayat al-Hakim
Pada akhir kesimpulan penulisan, beliau mengatakan bahawa apa yang paling penting ialah pada kedua-dua pasangan itu sendiri sebenarnya. Sekalipun keduanya mempunyai latar belakang yang jauh beza dan mungkin tidak setaraf, tetapi jika mereka punyai keserasian dan tolak ansur yang tinggi, maka itu boleh dipertimbangkan.
Di zaman dunia yang semakin menongkah arus globalisasi kita dapat lihat betapa manusia boleh berhubung dengan pantas sahaja walaupun fizikalnya jauh sekali.
Jika ada persefahaman tetapi tiada rasa tarikan cinta juga tiada gunanya. Lebih baik berkawan sahaja daripada berkahwin kerana itu akan menatijahkan pelbagai kesan kelak iaitu seperti perceraian. Kerana orang yang berkahwin itu adalah kerana mereka suka pada satu sama lain sehinggakan mahu hidup bersama.
Tulisan Dr. Hayya Bilal bertajuk Laki Aku Negro Kau Peduli Apa. Penulisan beliau yang ‘sempoi’ dan bersifat anekdot begitu melucukan dan memberi pengajaran berharga pada saya. Dr. Hayya berkahwin dengan lelaki berbangsa Afrika yang sangat jauh bezanya dengan masyarakat kita.
Beliau menerima begitu banyak respon dari ramai orang dan setiap satunya berikan beliau pengajaran bermakna tentang hidup ini. Kebanyakan orang begitu stereotaip terhadap warna kulit seseorang berbanding melihat pada perwatakan dan hati budinya.
Maka akan dikatakan tidak sesuai dan seumpamanya sedangkan antara keduanya sangatlah serasi dan tiada masalah pun untuk bersama. Jadi pada saya apa yang Mufti Wilayah Persekutuan tuliskan itu ada betulnya, semuanya berbalik pada kedua-dua insan tersebut sebenarnya.
Sama seperti kes cerai pasangan selebriti Korea Selatan yang membintangi drama Descendants of The Sun, orang kebanyakan terutama peminat merasakan mereka sangat secocok padahal apabila ditanya, jawapan oleh wakil Song Hye-Kyo ialah ‘personality differences’.
Perbualan Mendalam Dan Topik Yang Berkaitan
Sebelum memutuskan seseorang itu punyai persefahaman dan sekufu dengan kita, perlulah kita berbual dengan dia tentang beberapa topik yang patut dibincangkan sebelum ambil langkah serius seterusnya.
Janganlah kita hanya mengikut ‘rasa-rasa’ sahaja bahawa dia boleh menerima dan berkompromi. Soalan utama adalah seperti gaya hidup, perancangan kewangan, kerjaya, perancangan anak, lokasi untuk tinggal bersama dan pengurusan konflik.
Adakah kita boleh untuk bersama si dia, setelah kita tahu dia berdasarkan apa yang telah dibincangkan. Bolehkah kita bertolak ansur bersamanya atau pun memang tidak boleh langsung untuk punyai ruang toleransi.
Apa keputusan seterusnya dan langkah yang patut diambil. Perlukah memutuskan hubungan jika semuanya serba tidak kena atau masih mahu mencuba untuk berkompromi antara satu sama lain demi menyelamatkan hubungan. Itu semua perlu dibincangkan dengan fokus.
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
“Seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”Riwayat Daruqutni
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah begitu menetapkan kewajipan lelaki untuk berikan nafkah kepada isterinya. Kita juga boleh lihat dalam hadis lain yang mana ada seorang ingin menikah tetapi tidak punyai apa-apa, Rasulullah tetap menyuruh beliau untuk cari sesuatu.
Maksud di sini ialah Nabi inginkan kita untuk ada berusaha. Usaha mencari nafkah, meneruskan kelangsungan hidup. Ya, sememangnya Nabi sendiri tidak hidup bermewah-mewahan tetapi baginda tegas apabila melibatkan perkara ini.
Kita tidak boleh sewenangnya mengharapkan akan ada rezeki selepas kahwin tanpa mengetahui satu pun cara untuk mendapatkan rezeki tersebut. Begitulah lumrah dunia ini yang perlu kita hadap realitinya.
Elakkanlah sehinggakan meminta berlebih-lebihan. Itu tidak dilarang tetapi lihatlah pada bakal pasangan kita itu sejauh mana kemampuannya. Hiduplah seperti peribahasa Melayu, ukur baju di badan sendiri.
Bagaimanapun, bukanlah harta dan wang yang memberi bahagia tetapi ‘worldview’ seseorang yang menentukan dirinya bahagia atau tidak. Sekalipun banyak duit dan boleh membeli bermacam jenis barang, itu tidak menjamin kebahagiaan dalam rumahtangga.
Mudah untuk kita ambil iktibar dengan berlakunya perceraian yang banyak dari kalangan selebriti luar negara mahupun di dalam negara. Megah macam mana pun majlis perkahwinan juga bukanlah penyumbang pada kelestarian hubungan hidup berdua.
Perancangan Projek Bersama
Saya ada menonton video Aida Azlan, seorang vlogger, yang menyatakan untuk mengeratkan hubungan beliau dan suaminya adalah mereka melakukan sesuatu kerja atau projek bersama-sama.
Makna dari kata-kata beliau adalah perlu ada aktiviti yang pasangan sama-sama lakukan untuk mencapai objektif yang sama. Apabila diamati konsep yang beliau cadangkan itu, saya teringat pada syarahan TED Talk oleh Dr Brian Little apabila bercakap tentang personaliti.
Brian Little menyatakan bahawa ‘personal project’ adalah sesuatu yang akan membantu kita untuk berjaya dalam hidup. Tidak kiralah sama ada aktiviti itu bersifat ‘trivial’ (remeh) ataupun bersifat ‘significant’ (hebat).
Manusia fitrahnya akan berasa bosan apabila melakukan rutin harian yang sama. Justeru apabila mempunyai projek bersama yang dikongsi keterujaan dan sokongan, itu akan memberikan makna dalam hidup ini.
Sepertimana kisah Rasulullah dan Khadijah yang sama-sama berikan sokongan terhadap dakwah baginda pada permulaan dakwah Islam, sehinggakan Nabi teringat-ingat dan rindu akan Khadijah sekalipun Aisyah merasa cemburu melihat keadaan itu.
Begitulah pentingnya apabila pasangan saling menyokong dan memberi bantuan. Mungkin ada pasangan yang tidak punyai minat yang sama tetapi berdasarkan konsep ini apa yang penting adalah sokongan.
Contoh mudah adalah sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Bukannya kedua-duanya minat untuk sambung belajar, tetapi salah seorang boleh berikan sokongan positif. Mungkin ada yang sukakan aktiviti sukarelawan, maka sama-sama sertai badan organisasi untuk hulurkan bantuan pada yang memerlukan.
Jika tidak mampu bersama sertai pun mungkin cukup sekadar untuk menghantar pasangan ke destinasi dengan selamat seterusnya menyambung urusan yang perlu diselesaikan. Bukanlah perlu menyumbang pada perkara-perkara besar dan kritikal tetapi cukup sekadar perkara-perkara kecil itulah yang bawa kebaikan pada hubungan bersama-sama.
Hubungan cinta dan rumahtangga adalah sesuatu yang serius, bukanlah dibuat main-main atau dijadikan bahan untuk dicuba-cuba.
Sekiranya seseorang tidak ada niat untuk menuju ke arah perkahwinan, dia perlulah elakkan diri daripada memasuki mana-mana hubungan bersama orang lain. Manakala kita juga perlu mengetahui bagaimana untuk menapis individu-individu yang tiada niat tersebut.
Hubungan yang dibina atas dasar matang, serius dan bersalutkan cinta pasti akan menjadi pada akhirnya.
No comments: