Ads Top

Adakah Boleh Bercakap Ketika Mendengar Khutbah Jumaat?

Solat Jumaat merupakan solat sunat fardu dua rakaat yang dilakukan oleh setiap lelaki muslim pada hari Jumaat bagi menggantikan solat Zohor. Hukumnya adalah wajib ke atas setiap mukallaf kecuali wanita dan kanak-kanak dengan syarat-syarat tertentu.

Kewajipan ini adalah berdasarkan dalil yang telah dinyatakan Allah melalui firman berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu): yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumu’a, 62:9)

Antara syarat wajib untuk melaksanakan solat Jumaat ialah Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan bermastautin atau bermukim di tempat tersebut.

Syarat-syarat ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bemaksud:

“Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah kecuali empat jenis manusia; hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak dan orang yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Hakim)

Melalui khutbah, setiap muslim akan duduk berhimpun untuk mendengar dan menerima nasihat serta mesej ukhrawi kepada masyarakat Islam.

Menurut Imam Khatib Asy-Syarbini RA, antara adab mendengar khutbah ialah dengan menghadapkan muka ke arah imam, iaitu ke arah kiblat. Ia merupakan sunnah yang perlu diikuti kerana perbuatan ini sekali gus memudahkan seseorang itu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap khutbah tersebut.

Berdasarkan sebuah sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata yang sia-sia.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sia-sia di sini membawa erti bertentangan dengan sunnah, adab dan juga mengakibatkan kerugian terhadap seseorang di atas pahalanya walaupun solat Jumaatnya masih dikira sebagai sah.

Walau bagaimanapun, jika terdapat darurat dan memerlukan seseorang itu untuk berkata-kata, maka itu adalah dibolehkan. Sebagai contoh, jika si fulan itu terlihat ada penyeluk saku yang cuba untuk mencuri, maka dia dibolehkan untuk menghalangnya.

Mendengar Khutbah Lebih Utama Daripada Membaca Al-Quran Dan Zikir

Menurut Imam Nawawi, mendengar khutbah itu adalah lebih utama daripada membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata: “Ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah, Abu Zar bertanya kepada Ubai bin Ka’ab: “Bilakah turunnya surah ini?” Lalu Ubai tidak menjawab persoalan tersebut sehinggalah sesudah solat, Ubai berkata kepada Abu Zar:

لَيْسَ لَكَ مِنْ صَلاَتِكَ الْيَوْمَ إِلاَّ مَا لَغَوْتَ

Maksud: “Kamu tidak mendapat apa-apa dari solat kamu hari ini melainkan kamu telah lagha.”

Kemudian, Abu Zar pun bertemu dengan Nabi SAW lalu menceritakan hal tersebut, maka kata Nabi SAW: “Benarlah kata-kata Ubai tersebut.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Lagha di sini membawa maksud tidak mendapat kelebihan atau fadilat daripada solat Jumaat yang telah ditetapkan. Ia juga bermaksud bahawa amalan seseorang itu boleh menjadi sia-sia. Walau bagaimanapun, solat Jumaatnya tetap sah dan tidak perlu diulang semula.

Bermain Telefon Bimbit Semasa Khutbah

Ada pula sesetengah orang menyalahkan khatib kerana khutbah yang disampaikan membosankan dan membuatkan orang mengantuk. Mereka memilih untuk bermain telefon pintar semasa sedang mendengar khutbah, sama ada berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp, Twitter atau bermain permainan video. Bagaimana pula hukumnya?

Adakah sama sahaja dengan situasi yang telah dinyatakan berdasarkan hadis nabi di atas?

Bagi menjawab persoalan di atas, para ulama’ telah membawa hadis yang pernah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduk, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut para ulama’, hadis di atas tidak hanya tertumpu kepada bermain dengan anak-anak batu sahaja, namun segala jenis permainan yang boleh menjejaskan tumpuannya ketika mendengar khutbah Jumaat.

Situasinya adalah sama sahaja dengan kes di atas, bahawa perbuatannya sia-sia dan lagha sehingga boleh menyebabkan kerugian pahala.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa perbuatan yang sia-sia semasa khutbah seperti bercakap, bermain dan melihat telefon bimbit boleh menyebabkan lagha dan mengurangkan pahala. Malah cara penyampaian khutbah tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak cuba memberi perhatian.

Lapangkan hati dan niatlah yang baik-baik agar anda mendapat suatu manfaat daripada khutbah yang disampaikan. Usah buat ‘mindset‘ dari awal bahawa khutbah adalah suatu yang membosankan dan tidak terdapat sebarang manfaat.

Hadir Lambat Sehingga Tidak Mendengar Khutbah

Malah, dalam Islam kita dianjurkan untuk datang awal ke masjid agar sempat mendengar dua khutbah yang disampaikan. Ia merupakan sunnah yang perlu diamalkan untuk mengutip pahala yang melimpah-ruah dari Allah.

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa yang pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Syeikh Dr ‘Ali Jum’ah, iaitu Mufti Mesir mengatakan bahawa jika terlambat datang solat Jumaat sehingga tidak sempat untuk mendengar khutbah, solatnya masih dikira sah namun tidak mendapat kelebihan dan fadilat khutbah tersebut.

Berdasarkan fatwa di dalam bukunya menjelaskan lagi bahawa: “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka sah solat Jumaat bagi muslimin yang datang lambat dan tidak sempat mendengar khutbah. Namun, jika muslimin yang hadir lambat itu sehingga menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang daripada 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar.” (Kitab al-Kalimu at-thayyib, Fatawa ‘Ashriyyah Syeikh Dr ‘Ali Jum’ah, 34-35)

Malah, jumhur ulama’ berpendapat bahawa jika terlambat hadir solat Jumaat sehingga tidak sempat untuk mendengar khutbah, maka makruh hukumnya. Ini juga adalah berdasarkan pendapat Mazhab Syafi’e.

Jika selalu hadir lambat menunaikan solat Jumaat, maka Mazhab Syafi’e mengatakan bahawa makruh hukumnya, bahkan jika sengaja melewatkannya boleh jatuh hukum haram. Namun, jika berlaku kekangan lain yang tidak dapat dielakkan, maka itu adalah tidak mengapa.

Walau bagaimanapun, seseorang muslim itu perlu berusaha untuk sampai awal ke masjid bagi merebut pahala yang diganjarkan.

Bilangan Solat Jumaat Jika Terlambat

Tambahan lagi, jika seseorang itu terlambat ketika solat Jumaat sehingga menyebabkan dia tidak sempat rakaat dengan Imam, maka diwajibkan untuk dia menyambung 4 rakaat solat Zohor.

Sebagai contoh, jika seseorang itu telah datang ketika imam dalam keadaan tahiyyat akhir, maka dia perlu menambah 4 rakaat solat Zohor. Ini kerana solat Zohor wajib dilakukan secara berjemaah.

Ini adalah berdasarkan Tariq bin Syihab RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksud: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama Imam) dalam solat Jumaat, maka dia tambah satu rakaat lagi.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan al-Fikh al-Manhaji, seseorang itu dikira berjemaah solat Jumaat jika mendapat satu rakaat penuh. Oleh itu, jika mendapat satu rakaat sahaja, maka jumaatnya adalah sah.

Kesimpulan

Banyak fadilat yang boleh diperoleh semasa bermulanya solat Jumaat sehingga akhirnya. Bahkan, antara dua khutbah juga adalah waktu yang makbul berdoa. Maka, sebagai muslimin yang sentiasa cuba menggapai redaNya, kita perlu berusaha untuk merebut fadilat yang ada.

Mufti Wilayah: Hukum Berkata-Kata Ketika Khutbah & Sunat Datang Awal Ke Solat Jumaat




No comments:

Powered by Blogger.