Ads Top

Ada Pendirian Sendiri, Baby Shima Tolak Lagu Ada Unsur Lucah

Walaupun muzik bergenre dangdut sering kali dikaitkan dengan aksi menggoda dan lucah, penyanyi Baby Shima mengatakan dia berpegang kepada pendiriannya yang enggan menyanyikan lagu berunsur lucah serta berimej seksi.

Menurut Shima atau nama sebenar Nor Ashima Ramli, 27, dia pernah menolak sebuah lagu ciptaan komposer Indonesia yang mana terang-terangan membawa unsur lucah yang dirasakan tidak sesuai untuk dinyanyikan olehnya. Shima kini mengorak langkah dan namanya semakin mendapat perhatian di negara seberang selepas menyertai D’Academy Asia musim ketiga (DAA3) dua tahun lalu.

“Pada mulanya saya dapat lagu itu, saya dengar dulu lirik dan melodinya dan selepas mengkaji baharu saya perasan lirik dia ada yang tak kena dan sedikit lucah dan disebabkan itu saya terpaksa menolak secara baik lagu tersebut.

“Saya ada pendirian yang mana tidak akan menyanyikan lagu-lagu berunsur sebegitu dan saya akui memilih lagu yang sesuai dengan imej saya.

“Walaupun orang sering kaitkan muzik dangdut dengan aksi ghairah, seksi dan menggoda tapi saya ada prinsip tersendiri apabila melibatkan isu-isu seperti ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran MVM Rusa di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Shima disebabkan pendiriannya itu, beberapa pihak di Indonesia pernah menegurnya kerana aksi gelekannya tidak seperti penyanyi dangdut lain di luar sana.

“Saya pernah ditegur yang mana mereka katakan gelek saya tidak sehebat dan seseksi penyanyi dangdut lain. Tapi memang saya dah jelaskan kepada mereka yang saya hanya akan bergelek setakat yang saya mampu buat sahaja. Di Indonesia, saya perlu pakai baju yang disediakan pihak produksi sekiranya ingin membuat persembahan tapi kalau dirasakan baju itu terlampau seksi saya memang tidak teragak-agak untuk menolak secara baik,” ujarnya lagi.

Menurut anak kelahiran Masai, Johor ini, dia sentiasa mengingati pesanan keluarganya agar sentiasa menjaga diri sepanjang keberadaannya mencari rezeki di Indonesia.

“Keluarga banyak beri nasihat agar sentiasa jaga diri dan tidak terikut-ikut dengan cara pemakaian mereka di sana. Walaupun terlibat dalam bidang muzik dangdut, saya memang tidak biasa pakai seksi sejak dari kecil lagi. Kalau pakai skirt, mesti ia labuh sekurang-kurangnya sehingga ke paras lutut,” kata Shima lagi. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.