5 Tips Menjadikan Ramadan Anda Bermakna
Sedar tidak sedar kita sudah berada di pertengahan bulan Ramadan. Sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita. Bermakna lagi setengah bulan lagi kita akan menyambut bulan Syawal. Dan bagaimana pula dengan Ramadan yang berbaki ini?
Agak menyedihkan sesetengah daripada kita terlalu sibuk dengan persiapan raya. Hinggakan terlupa bahawa bulan Ramadan masih lagi tersisa.
Kita sepatutnya fokus dahulu dengan Ramadan yang belum pergi ini. Ada pula yang terlupa dengan adab ketika berpuasa kerana tertumpu kepada persiapan raya. Ayuh, masa masih lagi ada. Mari kita lihat 5 tips yang boleh dipratikkan di dalam bulan Ramadan ini.
Gunakanlah sedaya mungkin tenaga dan masa yang ada untuk berdamping dan berdakapan dengan bulan Ramadan ini. Semoga kita tidak kecewa di kemudian hari kerana ajal pula awal menghampiri.
#1- Menjaga Tutur Kata Dari Perkataan Yang Tidak Baik
Daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan yang tidak senonoh (ketika berpuasa) dan tetap melakukannya, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada perbuatannya meninggalkan makan dan minumnya (kiasan kepada tidak menerima puasanya).”Hadis riwayat Imam al-Bukhari
Bercakap perkara yang tidak baik adalah satu perkara yang dapat mengurangkan pahala puasa. Apa gunanya penat berpuasa tetapi tiada kebaikan pun dalam ibadah puasa kita kecuali lapar dan dahaga sahaja. Nauzubillah minzalik. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkataan yang baik atau diam.”Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Iman Muslim
#2- Tidak Membazir Ketika Berbuka Dan Bersahur
Menjadi satu kebiasaan kita apabila datangnya bulan Ramadan maka timbullah pelbagai jenis dan juadah makanan yang jarang dan tidak kita temui di bulan lain.
Dan disebabkan itu, sebahagian daripada kita terlalu mengikut hawa nafsu sehingga membeli juadah berbuka dengan jumlah yang banyak.
Ya ketika sebelum berbuka memang kita mahu makan semua yang dibeli. Tetapi hakikatnya selepas berbuka hanya secebis sahaja yang mampu ditelan. Perut tidak mampu menerima tambahan makanan lagi. Oleh itu, janganlah mengulangi sifat pembaziran pada hari seterusnya.
Pembaziran makanan hanya merugikan kita. Dan dalam al-Quran juga turut menyatakan sifat membazir adalah saudara syaitan. Kita tidak sepatutnya ‘membiakkan’ pula sifat buruk ini di dalam bulan yang mulia ini.
#3- Memperbanyakkan Amalan Kebaikan
Bulan Ramadan adalah bulan rahmat yang diturunkan Allah S.W.T kepada kita semua. Disebabkan itulah kita mestilah meraikannya dengan amalan kebaikan. Janganlah pula kita cemarinya dengan amalan yang mengundang murka Allah S.W.T.
Apabila bulan Ramadan menjelma, Rasulullah S.A.W memperbanyakkan amalan kebaikan. Rasulullah S.A.W lebih pemurah daripada angin yang bertiup. Alangkah baiknya kita mencontohi juga perbuatan Rasulullah tersebut.
Cuba kita pratikkan dalam amalan bersedekah. Di bulan lain contohnya kita sedekah RM2 setiap hari. Apa kata di bulan Ramadan kita tambah kepada RM3 atau RM4 setiap hari. Walau jumlahnya kecil yang penting istiqamah dalam melakukannya.
#4- Tidak Membazir Masa
Hari ini kita telah disediakan pelbagai kemudahan dalam kehidupan. Maklumat yang ingin kita cari pun mudah didapati hanya di hujung jari. Tetapi sebahagian daripada kita menggunakan gadjet melebihi had maksimum.
Di bulan Ramadan, kita diingatkan supaya menggunakan masa dengan sebaiknya. Janganlah sekadar menghabiskan masa dengan bermain media sosial sahaja.
Masa yang ada eloklah ditambah dengan ibadah sunat dan melakukan kerja yang bermanfaat.
Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan kembali semula. Yang tinggal hanya kenangan dan sejarah yang boleh diingati di minda sahaja. Oleh itu, masa yang masih tersisa ini janganlah dibuang lagi. Marilah kita bahagikan masa dengan sebaiknya.
#5- Menjaga Pandangan Mata
Firman Allah S.W.T yang bermaksud ;
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.Surah An-Nur 24:30-31
Di ayat seterusnya, Allah berpesan kepada kaum wanita pula dengan perintah yang sama.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”Surah An-Nur 24:31
Sesungguhnya menjaga pandangan mata ini bukan khusus kepada kaum lelaki sahaja. Ia turut diperintahkan kepada kaum wanita. Menjaga pandangan adalah satu perkara yang dapat menjaga kualiti puasa untuk lebih terpelihara.
Kesimpulan
Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”Surah al-Baqarah 2:183
Sempena kita masih lagi berada di bulan Ramadan, marilah kita bersama-sama berlumba dalam melakukan kebaikan. Buatlah kebaikan mengikut kemampuan sendiri. Mungkin setengah orang mampu membaca al-Quran berjuzuk-juzuk. Ada pula yang mampu melakukan solat Terawih dengan jumlah rakaat yang banyak. Lain orang lain caranya.
Semoga Ramadan kali ini kita dapat menjadi orang yang bertaqwa. Itulah harapan kita semua. Agar puasa kita tidak sia-sia dan menjadi rugi.
Rebutlah masa yang ada untuk melakukan kebaikan terutamanya di akhir Ramadan dan semoga kita dapat bertemu dengan Lailatul Qadr. Amin. Waallahu a’lam.
Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi
3. Ramadan Puasa dan Iktikaf (Penulis: Muhammad Zuhaili Saiman)
No comments: