Teladani Sifat Pemaaf 3 Insan Mulia
Mari kita teladani 3 kisah insan mulia yang cukup tinggi sifat pemaafnya.
#1- Nabi Yusuf A.S
قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Yusuf berkata (kepada saudaranya yang pernah menzaliminya dahulu): “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. Yusuf 12:92
Lafaz ayat di atas baginda ucapkan ketika berada di puncak kuasa. Baginda mampu melakukan apa sahaja.
Walaupun begitu, kezaliman semua saudaranya yang menyebabkan hidupnya derita terbuang di negeri orang.
Bahkan terpisah daripada ayah tercinta mampu baginda maafkan sekelip mata. Tindakan ini menjulang tinggi nama sehingga akhir zaman selagi surah ini dibaca.
#2- Rasulullah S.A.W
Pada hari pembukaan kota Mekah, orang Mekah tunduk malu lagi hina berdiri di hadapan baginda. Baginda mengucapkan:
” وأنا أقول كما قال أخي يوسف لا تثريب عليكم اليوم ”
Aku ucapkan (kepada kalian wahai penduduk Mekah) sebagaimana kata-kata yang pernah diucapkan saudaraku Yusuf (ketika memaafkan semua saudaranya); “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu)Tafsir al-Qurtubi, riwayat ini dinilai lemah oleh ramai ulama hadith
#3- Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A
Beliau memaaf kesilapan sepupunya Mistah bin Uthathah R.A yang tersilap memanjangkan cerita busuk orang Munafiq mengenai Aishah R.A (Tafsir Ibn Kathir). Sifat pemaaf beliau direkodkan Allah:
وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Surah al-Nur 24:22
Percayalah dendam kesumat yang dibaja akan menjadi sakit kronik yang bahaya kepada jiwa dan jasad.
Kalahkan nafsu dendam dengan sifat pemaaf. Insya-Allah memaafkan kesilapan orang bakal menjadi ubat jiwa yang mujarab walaupun pahit pada awalnya. Sabarlah, Pahit itu ubat!
No comments: