3 Tips Untuk Menjadi ‘Pelajar’ Sepanjang Hayat
Proses pembelajaran tidak seharusnya terhenti apabila tamat belajar di sekolah atau universiti. Kehidupan menawarkan pelbagai lagi perkara yang boleh kita pelajari – dari orang yang kita jumpa, situasi dan juga tempat yang kita pergi. Berikut digariskan tiga tips mudah untuk menjadi ‘student of life‘.
#1- Setkan Minda Seperti Kanak-Kanak
Kanak-kanak sentiasa tinggi perasaan ingin tahu. Ada sahaja benda yang ingin dipegang dan disentuh. Ada sahaja soalan yang akan ditanya.
Semakin kita meningkat dewasa, perasaan ingin tahu tersebut semakin berkurang. Kita menganggap dunia ini hanya penuh dengan masalah dan cabaran untuk diselesaikan. Hal-hal kecil tentang kehidupan terasa tidak penting dan bermanfaat, jadi kita tidak ambil pusing.
Saya lebih menyedari hakikat ini apabila mula bekerja di salah sebuah syarikat media. Budaya kerjanya sangat berbeza. Setiap hari akan ada isu-isu yang ditimbulkan oleh sesiapa sahaja, dan setiap orang bebas memberikan pandangan dan hujah masing-masing. Dari hal-hal serius berkenaan bisnes hinggalah hal-hal yang ringkas dan melucukan seperti: “Kenapa ada yang alergi dengan kacang tapi boleh makan kacang panjang?” (Senyum)
Bertanya dan mencari tahu tentang sesuatu akan membuatkan minda kita sentiasa aktif berfikir.
#2- Baca, baca dan baca
Membaca buku ibarat membuka pintu ke dunia baru. Bagi saya, setiap satu buku yang saya buka akan memberikan kesan emosi dan pengalaman yang berbeza.
Ada buku yang akan menajamkan kemahiran bahasa, ada yang akan memberikan nilai tentang kehidupan, teknik dan kemahiran bersosial, cerita kejayaan orang lain dan rahsia bagaimana mereka melakukannya dan 1001 faedah lagi.
Dan pernahkah ada yang memberitahu anda bahawa membaca buku yang dibaca oleh orang lain ialah salah satu rahsia untuk memahami fikiran mereka. Menarik bukan?
#3- Berguru Dari Orang Yang Pakar
Kita kerap mendengar cerita-cerita orang yang gigih ‘berguru’ – terutamanya dalam bidang perniagaan. Ada yang belajar tentang Facebook Ads, E-commerce, branding, marketing dan bermacam lagi.
Dalam apa jua bidang yang kita minati, pasti ada mentor dan pakarnya yang punyai pengalaman yang lebih mendalam. Ambil peluang untuk ‘upgrade’ diri dari semasa ke semasa dengan belajar daripada mereka.
Kesimpulannya, tidak ada apa yang akan berubah dalam hidup kita jika kita sendiri tidak mengambil langkah pertama. Sekuat mana keinginan kita kepada sesuatu boleh dinilai dengan sekuat mana usaha yang kita lakukan.
No comments: