Mana Lebih Utama – Beri Pinjaman Atau Beri Sedekah?
Beri pinjaman atau beri sedekah?
Kedua-duanya adalah cara kita dapat berbuat baik kepada orang yang sedang dalam kesusahan dan sangat memerlukan.
Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa orang yang melepaskan seorang Muslim daripada satu kesusahan di dunia, maka Allah SWT akan melepaskan dia daripada satu kesusahan di akhirat.
Manakah Lebih Utama
Ulama-ulama yang berpegang bahawa memberi pinjaman tanpa faedah adalah lebih utama kerana menyandarkan kepada dalil bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mikrj), aku melihat tertulis di dalam pintu syurga, ‘Setiap sumbangan sedekah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali.’ Lalu aku (Nabi) bertanya:
“Wahai Jibril, mengapakah pemberian pinjam lebih mulia daripada sedekah?”
Jawab Jibril: “Kerana yang meminta pada waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali ketika benar-benar memerlukan.” (Riwayat oleh Ibnu Majah, no. 2431 – Al-‘Ajlouni dan Albani menilai hadis ini sebagai lemah)
Selain itu, hadis lain yang menjadi sandaran juga adalah hadis Nabi SAW yang bermaksudL:
Ertinya: “Memberikan pinjaman (tanpa faedah) itu lebih baik daripada memberi sedekah.’ (Riwayat Al-Baihaqi, no.10736)
Lihat Kepada Keadaan Si Penerima
Namun menurut seorang penasihat syariah, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, keadaan ini perlu dilihat dengan lebih teliti kerana keutamaan sedekah atau pemberian pinjaman berbeza bergantung kepada keadaan si penerima.
Jika keadaan penerima lebih memerlukan, maka itulah yang menjadi keutamaan tidak kira sama ada bantuan yang diterima adalah dalam bentuk sedekah atau pinjaman.
Menurut beliau lagi, pada zaman ini, mungkin keadaan boleh menjadi terbalik – penerima sedekah pula daripada kalangan yang sangat memerlukan sedangkan orang yang hendak meminjam pula adalah daripada kalangan yang sebenarnya tidak terdesak pun memerlukan pertolongan.
Contohnya mereka yang hanya ingin bergaya dengan barang keperluan baru sedangkan ia bukan hal yang mendesak. Atau usahawan yang sudah berjaya tetapi masih memerlukan pinjaman untuk membesarkan perniagaannya.
Anjuran Menukarkan Hutang Kepada Sedekah
Dalam keadaaan lain, jika si peminjam hutang ditimpa kesukaran sehingga tidak dapat membayar hutang, maka disinilah anjuran memanjangkan tempoh pembayaran hutang atau menukarkan hutang menjadi sedekah, seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 280.
“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sehingga dia berkelapangan. Dan mensedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
Dalam keadaan ini, kita dapat melihat bahawa memberi sedekahlah yang lebih utama kerana dia yang pada asalnya memberikan pinjaman hutang telah melepaskan hak milik hartanya kepada penerima dengan menukarkannya kepada sedekah.
Justeru, tidak kira pinjaman atau sedekah yang diberikan, jika penerima adalah orang yang dalam keadaan memerlukan, ganjarannya pasti bertambah.
Rujukan:
Sedekah Atau Pinjaman oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (Solusi Isu 14)
No comments: