Ads Top

Adakah Roh Orang Mati Boleh Mengganggu Manusia?

Sejak daripada kecil digambarkan bahawa hantu adalah makhluk yang sangat buruk rupanya, dengan baju putih dan rambut mengurai. Orang-orang dewasa akan menakut-nakutkan anak kecil supaya tidak bermain ketika waktu Maghrib dan terus masuk ke dalam rumha.

Sekarang jika anda penggemar cerita hantu atau cerita misteri pula, pasti ada versi-versi ‘hantu’ yang lain yang pernah ditonton. Ada masa ia digambarkan sebagai roh orang mati yang berdendam dan kembali semula mengganggu orang yang masih hidup.

Adakah ia benar-benar wujud sebagaimana yang digambarkan? Adakah ia boleh mengganggu manusia yang masih hidup?

Jika kita fahami serba sedikit tentang perihal roh, maka mungkin kita akan melihat dengan lebih jelas tentang perkara ini.

Dalam Surah Az-Zumar, ayat 42 bahawa Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan…” (Surah Al-Zumar 39:42)

Para ulama mentafsirkan perkara ini dalam beberapa keadaan. Antaranya adalah roh orang mati dan orang hidup itu saling bertemu ketika tidur. Kemudian, roh orang yang hidup akan dikembalikan ke dalam jasad mereka semula, tetapi roh orang yang sudah meninggal akan ditahan daripada kembali ke jasadnya, bermakna ia tidak boleh lagi kembali ke dunia.

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pula menafsirkan bahawa kematian itu ada dua jenis iaitu kematian yang besar (mati sebenar) dan kematian yang kecil iaitu saat tidur.

Sekarang, kita sudah memahami bahawa roh orang yang mati tidak dapat lagi kembali ke dunia. Maka, bagaimana dengan hantu-hantu yang digambarkan sebagai roh orang yang berdendam itu?

Ia sebenarnya adalah penyerupaan jelmaan jin serta syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Walau bagaimanapun, jin dan syaitan tetap tidak dapat memberi mudarat kepada manusia. Mereka hanya diberi kelebihan oleh Allah untuk berubah-ubah kepada bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menyebut:

لاَ غُولَ

Maksudnya : “Tidak ada Ghul..” (Riwayat Abu Daud, no.3915)

Ghul di sini adalah hantu yang dipercayai oleh orang Arab yang boleh memudaratkan dan membinasakan mereka. Ia sama seperti kepercayaan yang ada dalam masyarakat Melayu, yang mempercayai ada hantu atau roh yang boleh membahayakan manusia.

Hakikatnya apa yang digambarkan dalam cerita-cerita tersebut adalah jauh daripada kebenaran bahkan adalah perkara yang mengarut dan tahyul semata-mata. Roh orang yang mati tidak dapat kembali ke dunia dan tidak dapat membahayakan orang yang masih hidup. Ayuh betulkan kepercayaan yang salah kepada yang betul. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.