Ads Top

Siapakah Yang Perlu Membayar Fidyah?

Fidyah ialah denda yang dikenakan kepada seorang Islam (yang telah baligh) kerana meninggalkan puasa wajib pada bulan Ramadan atau kerana tidak sempat menggantikan puasa tersebut.

Hukum membayar fidyah adalah wajib dan dikira mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat.

Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga makanan asasi penduduk di tempat tersebut, contohnya di Malaysia, makanan asasi adalah nasi. Maka satu hari yang ditinggalkan bersama kadar satu cupak beras.

Antara sebab seseorang itu dikenakan fidyah adalah seperti berikut:

#1- Uzur Menunaikan Puasa Wajib

Contohnya orang yang menghidapi penyakit yang kronik dan tidak ada harapan untuk sembuh atau golongan tua yang sudah tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

#2- Orang Yang Telah Meninggal Dunia Tapi Belum Sempat Menggantikan Puasa

Seseorang yang telah meninggal dunia namun diketahui masih mempunyai puasa yang tidak diganti, maka perlu disempurnakan dengan mengeluarkan fidyah oleh waris si mati mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

#3- Perempuan Hamil

Perempuan yang bimbang akan memudaratkan keselamatan bayi dalam kandungan jika dia berpuasa, maka dia boleh meninggalkan puasa. Jika masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya makan barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.

#4- Ibu Yang Menyusukan Anak

Ibu yang berasa bimbang akan memudharatkan bayi atau menjejaskan kesihatan bayi jika si ibu berpuasa contohnya akan kekurangan air susu daripada badan, maka dia boleh meninggalkan puasa, kemudian perlu mengganti semula puasa dan juga membayar fidyah.

#5- Musafir Dan Pesakit Yang Tidak Menggantikan Puasa Pada Tahun Ia Ditinggalkan

Bagi orang yang bermusafir serta pesakit yang sudah sembuh namun tidak menggantikan puasa pada tahun ia ditinggalkan (sebelum masuk Ramadan seterusnya), maka tetap wajib menggantikan puasanya selepas itu dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

#6- Melambatkan Ganti Puasa

Orang yang lambat menggantikan puasanya hingga telah masuk bulan Ramadan tahun seterusnya, masih wajib menggantikan puasanya dan dikenakan juga denda fidyah mengikut hari yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda apabila dia tetap tidak menggantikan pada tahun-tahun berikutnya.

Tunaikanlah tanggungjawab dan kewajipan dalam menggantikan puasa yang telah ditinggalkan sama ada disengajakan atau tidak disengajakan. Sebaiknya ganti lah lebih awal bagi mengelakkan daripada terlupa.




No comments:

Powered by Blogger.