Ads Top

Hiduplah Dengan Ilmu

Cuba kita bayangkan kehidupan kita tanpa ada cahaya. Bagaimana kita mahu membezakan antara hitam atau putih? Bagaimana kita dapat melihat manusia di sekeliling kita? Hanya mendengar suara tetapi tidak kepada sosok tubuh manusia lain. Pasti kehidupan kita amat sukar dan tidak sempurna bukan?

Itulah pentingnya cahaya yang menyinari perjalanan hidup kita. Ia hadir memudahkan pekerjaan harian. Dan begitu jugalah pentingnya ilmu sebagai ‘nyawa’ kita. Ia menyuluh kita kepada jalan yang benar dan tidak tersasar lalu jatuh ke dalam kebinasaan.

Ilmu adalah cahaya. Ilmu adalah penyuluh kehidupan kita. Insha Allah, artikel yang ‘kerdil’ ini akan mengupas walau tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya sedikit mengenai kehebatan ilmu. Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca yang dikasihi Allah SWT sekalian. Insha Allah.

Kepentingan Ilmu

Menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat, ilmu ialah pengetahuan. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.

Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan dan tuntutan kepada setiap manusia. Hal ini kerana, dengan ilmu kita dapat membezakan antara baik dan salah.

Jika ilmu tidak menjadi keutamaan dalam hidup maka kita akan menganggap setiap perbuatan kita adalah benar. Lagi membahayakan adalah menganggap yang benar adalah salah dan yang salah pula adalah benar.

Dalam urusan kehidupan dunia seperti misalnya jika kita tidak mempunyai ilmu sesuatu bidang pasti kita akan kesulitan untuk melakukannya. Apatah lagi tentang ibadah yang wajib kita laksanakan. Jika tiada ilmu bagaimana kita ingin melakukan ibadah solat, puasa, dan haji?

Ilmu sungguh penting dalam kehidupan. Janganlah sekadar terikut-ikut dan hanya meniru amalan orang lain tetapi kita tiada asas ilmu mengenainya. Takut nanti apa yang diikut rupanya salah dan tidak membawa apa-apa faedah dalam ‘akaun’ pahala kita.

Tuntutlah ilmu selagi kita bernafas. Jika kita mengetahui sesuatu perkara, kita akan lebih yakin untuk melaksanakan sesuatu amalan dan ibadah. Tidak ada keraguan lagi di dalam hati.

Kebaikan Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu mempunyai kebaikan yang banyak untuk sesiapa yang mendekatinya. Tuntutlah ilmu selagi ada upaya dan daya. Apabila sudah berilmu janganlah lupa untuk beramal. Insha Allah, ilmu yang baik akan membawa kita ke jalan yang benar.

Di sini, disenaraikan beberapa kebaikan dan kelebihan apabila kita menuntut ilmu yang benar. Semoga memberi semangat dan motivasi untuk kita terus beristiqamah dalam menuntut ilmu. Ayuh, sama-sama kita ketahui bersama.

#1- Jalan Ke Syurga

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang menuntut ilmu akan mendapat kemudahan dan bantuan daripada Allah SWT. Mereka akan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

#2- Keluar Daripada Kejahilan

Menuntut ilmu akan membawa kita kepada sinar kejayaan. Kita akan dapat menjauhi dan keluar daripada kejahilan.
Jika terus dalam kejahilan, kehidupan kita seperti tidak ada panduan dan arah tuju yang sebenar.

Oleh itu, jadikanlah ilmu sebagai sahabat dan bekalan dalam perjalanan kehidupan kita.

#3- Mendapat Manfaat di Dunia dan di Akhirat

Daripada Mu’awiyah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah memperolehi kebaikan, Allah menjadikannya pandai dalam hal keagamaan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang berilmu terutamanya mempunyai kefahaman dalam ilmu agama adalah sangat beruntung. Mereka memperoleh kebaikan di dunia dan di akhirat.

#4. Menjadi Insan Yang Mulia

Orang yang mempunyai ilmu akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Bukan itu sahaja, orang yang memiliki ilmu dan mengamalkannya akan turut mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang beriman daripada kalangan kalian dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan sebanyak beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah 58:11)

#5. Mendapat Ganjaran Pahala Yang Tidak Terhingga

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyeru ke arah suatu petunjuk, baginya ganjaran sama seperti ganjaran orang yang mengikutnya tanpa dikurangkan walau sedikit pun daripada ganjaran mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Apabila kita mengajar seseorang tentang satu ilmu yang bermanfaat lalu orang itu mengamalkan pula ilmu yang diajar maka kita juga turut mendapat pahala seperti yang diterimanya tanpa sedikit pun terkurang. Subhanaallah.

Kesimpulan

Menuntut ilmu adalah satu kewajiban kepada setiap kaum muslimin dan kaum muslimat. Ia akan membawa pelbagai kebaikan dan kelebihan kepada mereka yang turut mengamalkan ilmu tersebut. Lebih baik lagi, orang yang berilmu dan beramal itu menyebarkan pula ilmu yang dipelajarinya itu.

Tuntutlah ilmu dengan penuh keikhlasan kepada Allah dan bukannya kerana inginkan pujian dan berbangga diri. Carilah ilmu yang dapat menyelamatkan hidup kita di dunia dan di akhirat. Janganlah hanya sekadar menimba ilmu dunia tetapi ilmu akhirat ditinggalkan.

Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi terbitan Telaga Biru (Karangan: Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)
2. Taalim Al-Mutaalim Thariqa At-Taallum (Terjemahan)-Karangan Syeikh Burhanuddin (Burhanul Islam) Ar-Zarnuji
3. Islam.gov.my
4. Mufti Wilayah Persekutuan
5. Ganjaran Menunjukkan Kepada Amalan Kebaikan




No comments:

Powered by Blogger.