Ads Top

Terhalang Melakukan Solat Jemaah Di Masjid, Namun Pahala Tetap Dicatat

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke sepuluh. Bermakna, sudah sepuluh hari jua umat Islam tidak dapat berkumpul di masjid dan melakukan solat jemaah bersama-sama. Amalan ini penting bagi umat Islam kerana solat berjemaah melambangkan penyatuan dan syiar (kemulian dan simbol) agama yang perlu dipelihara.

Bagi mereka yang kerap solat di masjid dan menghadiri kuliah agama, pasti terasa agak janggal kerana terpaksa berada di rumah sahaja. Malah ada yang meluahkan bahawa rindu untuk kembali mendengar laungan azan yang sudah tidak dikumandangkan di sesetengah tempat.

Tetapi tahukah anda, sekalipun terhalang daripada melakukan amal ibadah seperti sebelum ini dek kebimbangan tularnya wabak COVID-19, namun sebenarnya anda masih berpeluang mendapat pahala yang sama.

Bagaimana?

Rasulullah SAW pernah menceritakan dalam satu riwayat bahawa apabila seorang hamba sakit atau dalam musafir, maka pahala kebaikan masih dicatat untuknya seperti ketika ia dalam keadaan bermukim (menetap di suatu tempat) dan dalam keadaan sihat.

Bermakna, jika seseorang selalu melakukan amal ibadah seperti berkunjung ke masjid, solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, keluar bersedekah, kemudian amalan-amalan ini tidak dapat dilakukan kerana sakit, musafir atau ditimpa musibah, maka pahala tetap akan diberi sebagaimana sebelumnya.

Abu Burdah bin Abu Musa bahawa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seorang hamba sakit atau dalam bermusafir (menempuh perjalanan), maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika ia bermukim (menetap di suatu tempat) dan dalam keadaan sihat.” (HR Ahmad, no. 18848 – Status Isnad Tsiqah)

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas berkata: “Hadis ini ditujukan bagi hak mereka yang melakukan ketaatan lalu terhalang daripada melakukannya (disebabkan ada keuzuran), dalam keadaan niatnya jika tidak terdapat penghalang nescaya dia akan berterusan melakukannya (ketaatan)” (Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (6/136)

Bererti, jika tidak ada penghalang, seseorang pasti akan terus melakukan amalan tersebut. Dalam situasi sebegini, ganjaran pahala ‘percuma’ ini akan tetap diberikan.

Contohnya jika kita sering ke masjid untuk bersolat jemaah, namun pada masa sekarang kita tidak boleh ke masjid, pahala solat berjemaah akan tetap diperoleh. Begitu juga jika kita sering ke majlis ilmu, namun pada masa sekarang kita tidak dapat ke mana-mana, maka malaikat tetap mencatat pahala seolah-olah kita hadir.

Betapa pemurahnya Allah yang masih memberikan ganjaran pahala kepada orang yang menghadapi halangan untuk melakukan amal soleh. Oleh itu, jangan menganggap bahawa fasa PKP ini adalah satu kerugian kerana tidak dapat melakukan amal ibadah seperti biasa.

Tidak dapat keluar ke mana-mana kerana kebimbangan tularnya wabak COVID-19 juga adalah satu bentuk keuzuran yang diiktiraf oleh agama. Allah Maha Pemurah dan mampu memberikan ganjaran pahala kepada sesiapa sahaja, malah kita juga telah mengikuti perintah untuk mengelakkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Ia pasti tidak sia-sia.




No comments:

Powered by Blogger.