Ads Top

Silent Treatment – Larangan Berdiam Diri Lebih Daripada 3 Hari

Seringkali apabila berlaku perselisihan faham dan perbalahan dalam hubungan, akan ada pihak yang menarik muka masam, hanya berdiam diri dan mengelak daripada berbincang.

Sebenarnya perlakukan ini bukan hanya berlaku dalam hubungan istimewa antara lelaki dan perempuan sahaja, malah perhubungan dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan. Bahkan respon sebegini sudah kita gunakan sejak daripada kecil.

Masih ingat waktu kecil dahulu – apabila dimarahi oleh ibu bapa, kita akan menarik muka masam, berkurung di dalam bilik dan mogok tidak mahu bercakap.

Dalam bahasa Inggeris perlakuan ini dipanggil silent treatment. Pelakunya akan bertindak mendiamkan diri, memencilkan diri, dan tidak mahu berinteraksi dengan satu pihak lagi. Ia biasanya berpunca daripada rasa tidak puas hati, geram atau marah. Tujuannya adalah untuk membuatkan orang tersebut yang menerima silent treatment berasa bersalah.

Dalam banyak keadaan, si pelaku tidak menyedari impak perbuatan silent treatment yang dilakukan kepada emosi orang lain.

Kita ambil pula contoh di tempat kerja – seseorang yang mendapat kenaikan pangkat dalam tempoh sekejap, ‘dipulaukan’ oleh rakan sejawat yang lain kerana rasa tidak puas hati. Dia tidak diajak makan, tidak diajak berbual dan diperlakukan seolah-olah tidak wujud serta tidak penting. Ini adalah contoh silent treatment yang boleh terjadi di tempat kerja. Jika ia dilakukan dalam tempoh yang lama, ia mampu memberikan kecederaan emosi kepada si penerima.

Disebabkan itu, Islam sangat melarang seseorang daripada bergaduh dan ‘berdiam diri’ lebih daripada tiga hari. Hal ini kerana, kesakitan yang dirasai boleh jadi lebih besar daripada kecederaan fizikal yang boleh dilihat.

Impaknya adalah daripada sudut emosi dan mental – orang yang menerimanya rasa dimalukan dan tidak dihargai yang akhirnya membawa kepada hilang semangat dan keyakinan diri malah merosakkan hubungan silaturahim dalam jangka masa panjang.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.” (Riwayat Muslim, no.2560)

Allah sangat murka kepada orang yang bermusuh dan tidak menjaga hubungan silaturahim sehingga diancam bahawa dosa-dosa mereka tidak akan diampunkan.

“Pintu-pintu Syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Maka semua hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni dosa-dosanya, kecuali seseorang yang antara dia dan saudaranya terjadi permusuhan.

Lalu dikatakan, “Tundalah pengampunan terhadap kedua orang ini sampai keduanya berdamai, tundalah pengampunan terhadap kedua orang ini sampai keduanya berdamai, tundalah pengampunan terhadap kedua orang ini sampai keduanya berdamai.” (Sahih Muslim)

Setiap manusia pasti akan berasa marah apabila berlaku sesuatu yang tidak disukainya. Namun perhatikanlah jika tindakan berdiam diri yang diambil itu untuk menyejukkan hati sebentar atau kerana dendam dan sengaja menyeksa si penerima yang pastinya dalam keadaan keliru dan tertanya-tanya. Selesaikanlah perselisihan faham secara baik dan matang.

Ingatlah matlamat yang lebih besar dalam kita berhubungan dengan orang-orang di sekeliling. Tindakan menjaga hubungan silaturahim bukan hanya untuk kita atau orang yang terlibat semata-mata tetapi kerana mematuhi apa yang disuruh oleh Allah dan mengelak daripada dimurkaiNya.




No comments:

Powered by Blogger.