Ads Top

“Idea Black Temukan Kami Berempat Dalam Satu Pentas” – Hazama

Persiapan giat dijalankan empat penyanyi lelaki bersuara mantap iaitu Hazama, Akim, Black dan Tomok bersempena Konsert 4G yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Menurut Hazama, mereka berempat bakal menyajikan sebuah persembahan yang berkualiti buat peminat yang tidak berhenti memberikan sokongan terhadap kerjaya seni mereka selama ini.

Bercerita lanjut mengenai penyatuan konsert itu, Hazama berkata ia merupakan idea asal Black yang akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka disatukan di pentas berprestij Istana Budaya.

“Sebenarnya, idea konsert ini datang daripada Black dan dia yang mencadangkan nama kami bertiga memandangkan kami semua memang sekepala dan memahami di antara satu sama lain.

“Istimewanya untuk konsert ini, penonton yang hadir bakal melihat sesuatu yang eksklusif di mana buat pertama kalinya kami berempat akan menyanyikan single terbaharu yang menggabungkan kami semua dalam satu lagu.

“Lagu baharu yang dicipta oleh Taja Meet Uncle Hussain dan Ana Raffali itu masih belum diberi judul dan ia menceritakan tentang perihal dunia dan masyarakat sejagat. Kami masih lagi mencari judul yang sesuai untuk lagu itu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert 4G yang dianjurkan Belbis Sdn. Bhd ini tampil dengan tagline ‘Gabungan Melodi Terindah’ yang mana persembahan istimewa ini akan diiringi pemuzik yang diketuai oleh pengarah muzik Aubrey Suwito.

Antara keunikan lain yang menjadi nilai tambah untuk konsert ini ialah keempat-empat mereka akan saling bertukar untuk menyanyikan lagu popular dendangan masing-masing.

“Yang menariknya lagi, Konsert 4G ini akan menyaksikan Hazama mungkin akan menyanyikan lagu-lagu popular Tomok atau saya menyanyikan lagu-lagu Black. Itu semua antara kejutan yang bakal kami sajikan untuk dua malam istimewa ini sahaja. Selain daripada menyanyikan lagu-lagu kami, kami juga akan membawakkan satu slot tribute yang mana kami akan beri penghargaan kepada penyanyi-penyanyi lagenda seperti Alleycats dan Flybaits dengan mengalunkan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka yang sehingga kini masih menjadi siulan,” ujar Akim.

Turut bimbang dengan penularan Coronavirus (Covid-19), Hazama dan Akim berharap menjelang berlangsungnya konsert ini kelak perkara tersebut akan semakin reda dan keadaan akan menjadi lebih selamat dan tenang.

“Kami risau juga sebab banyak acara yang melibatkan penglibatan orang ramai batal pada ketika ini tapi kami berharap konsert ini akan berjalan lancar dan harapnya peminat dapat berikan sokongan mereka terhadap kam berempat,” kata Hazama.

Tiket Konsert 4G boleh didapati pada harga RM98, RM248, RM348, RM428 dan RM518 menerusi www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

The post “Idea Black Temukan Kami Berempat Dalam Satu Pentas” – Hazama appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.