Ads Top

Hukum Tinggalkan Solat Jumaat 3 Kali Berturut-turut Kerana Mengelak Wabak

Solat berjemaah di masjid sangat dituntut bagi golongan lelaki Muslim lebih-lebih lagi solat Jumaat. Malah kebanyakan orang mengetahui terdapat peringatan bahawa tidak boleh meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

Hal ini terakam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja’d al-Dhamri (sebahagian menyatakan Al-Dhumairi) RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya. (Riwayat Abu Daud, no. 1052)

Atau dalam hadis lain, disebutkan jika meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa sebarang dharurat.

Daripada Jabir bin Abdillah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.” (Riwayat Al-Nasa’ie, no.1370)

Pada asalnya seseorang itu sangat digalakkan berjemaah di masjid kerana solatnya lebih sempurna dalam erti kata mendapat pahala yang lebih berganda. Selain itu dia telah mengikuti ajaran Nabi SAW yang sangat menitik beratkan solat jemaah di masjid.

Walau bagaimanapun, melihat kepada perkembangan situasi pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan, pihak kerajaan telah memanjangkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membolehkan orang ramai berkumpul atau melakukan solat jemaah di masjid.

Maka, apakah hukumnya meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dalam situasi ini? Apakah ancaman tersebut masih terpakai?

Perkara ini boleh dirujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran. (Riwayat Ibn Majah, no.793)

Dalam riwayat lain, para sahabat bertanya Rasulullah SAW apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran. Lalu Rasulullah menjawab:

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: Perasaan takut ataupun sakit. (Riwayat Abu Daud, no.551)

Justeru Syeikh Ali al-Qaradaghi mengeluarkan pendapat seperti berikut:

“Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh perasaan takut dijangkiti virus tersebut.”

Beliau mensyaratkan bahawa hukum harus ini mestilah bersandar kepada keyakinan yang pasti – ketakutan berlakunya penyebaran dan bukanlah sangkaan semata-mata.

Bererti perasaan takut dan juga sakit dianggap suatu keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Lihatlah Islam bukan sahaja menitik beratkan tentang keperluan fizikal manusia malah kemampuan emosi dalam melaksanakan sesuatu ibadah dan tanggungjawab.

Hukum ini turut terpakai dalam keadaan dunia sekarang yang diselubungi pandemik COVID-19 yang jelas mengancam nyawa. Justeru, mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran sebegini tidak termasuk dalam ancaman oleh hadis-hadis tersebut.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.