Ads Top

Hukum Memakai Purdah Apabila Ketiadaan Face Mask Ketika Mudarat

Apabila ditanya kepada kenalan rapat, masih adakah topeng muka yang dijual, beliau akan menjawab bahawa topeng muka sudah habis. Bahkan, beliau memberi cadangan kepada saya untuk memakai purdah sahaja dengan nada bergurau.

Walaupun ia kelihatan kelakar, namun melihat kepada keadaan semasa yang mendesak, mungkin cara sedemikian boleh digunakan. Jika dilihat, ramai yang telah mula memakai apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai perlindungan diri.

Terkini, menjadi bahan bualan apabila ada yang sanggup memakai kostum dinasor untuk melindungi diri sendiri.

Berbalik kepada isu purdah – Kita mengetahui bahawa purdah digunakan untuk menutup bahagian muka wanita apabila seseorang itu berpegang kepada hukum wajah adalah aurat. Hukum menanggalkannya apabila wujud keadaan terdesak seperti peraturan pihak universiti atau arahan daripada majikan (selagi menepati syariat) adalah harus.

Tambah penjelasan Mufti Wilayah lagi, dibolehkan untuk kembali memakai purdah tersebut apabila selesai urusan pekerjaan tadi.

Jadi, adakah sama situasi dengan mereka yang mengambil keputusan untuk memakai purdah mahupun niqab dengan tujuan untuk keluar rumah sama ada untuk membeli barang dapur atau pergi kerja bagi menggantikan topeng muka ini?

Melihat kepada pandangan yang telah dikeluarkan oleh Mufti di atas dan juga sebahagian jumhur ulama lain, perbuatan tersebut adalah dibolehkan dan tidak menjadi masalah.

Hal ini adalah untuk melindungi diri dan sebagai salah satu ikhtiar yang digunakan dalam usaha untuk mengawal penularan wabak ini.

Yang paling penting adalah niat yang ditanam di dalam diri si pemakai, iaitu untuk melindungi diri dan bukan untuk berhias atau melaram dengan berlebihan.

Hukum Sebenar Purdah

Pemakaian purdah sering dikaitkan dengan budaya orang Arab walhal sebenarnya ia adalah ajaran Islam yang telah didasari oleh dalil-dalil daripada Al-Quran, hadis-hadis sahih dan juga amalan wanita Islam terdahulu.

Hal ini dapat dilihat akan budaya Arab Jahiliah terdahulu adalah menampakkan aurat, bersolek dan berhias secara berlebihan yang disebut sebagai tabarruj dan juga mementingkan kecantikan semata-mata.

Namun, apabila Nabi Muhammad diutus, Baginda telah memerintahkan agar wanita-wanita menutup auratnya dengan mengikut syariat Islam dan mengangkat darjat wanita ke taraf yang sepatutnya.

Mafhum: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu.” (Surah Al-Ahzab, 33:33)

Melihat kepada hukum sebenar berpurdah, terdapat dua pendapat ulama berkenaan pandangan ini, iaitu:

#1 – Sunat

Sebahagian ulama daripada mazhab Syafi’e berpandangan bahawa hukum memakai purdah adalah sunat. Begitu juga dengan pandangan daripada mazhab Hanafi dan Maliki. Wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah hukumnya adalah sunat (dianjurkan).

Maksud: “Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar. Ini pendapat yang lebih sahih dan merupakan pilihan mazhab kami.” (Matan Nuurul lidhah)

#2 – Wajib

Sebahagian jumhur ulama daripada kalangan mazhab Syafi’e juga berpandangan wajib menutup wajah dan tapak tangan jika bimbang ia boleh membawa fitnah dan menimbulkan nafsu syahwat.

Taqiyuddin Al-Hushni melalui nukilannya berkata:

Maksud: “Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaannya sukar terjaga dari pandangan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan niqab.” (Kitab Kifaayatul Akhyaar, 181)

Kesimpulan

Justeru, dapatlah kita faham di sini bahawa hukum asal pemakaian purdah adalah sunat dengan niat untuk menutup aurat dan melindungi diri daripada pandangan ajnabi.

Harus pula hukumnya jika terpaksa membuka purdah akibat keadaan yang mendesak seperti disebabkan peraturan syarikat mahupun sesebuah tempat yang didiami.

Bahkan, apabila terjadinya darurat, dibolehkan untuk memakai purdah dan sarung tangan dengan tujuan melindungi diri seperti dalam keadaan wabak yang sedang kita alami sekarang.

Ikhtiar untuk tujuan perlindungan diri itu adalah tidak salah dan dibenarkan dengan syarat ia tidak melanggar undang-undang semasa sesebuah tempat.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.