Ads Top

Benarkah Suami Terakhir Akan Menjadi Pasangan Buat Isteri Di Syurga?

Mungkin ada antara kita pernah mendengar pesanan orang tua-tua bahawa apabila seorang wanita itu kematian suami, maka dia tidak boleh berkahwin lain jika masih ingin bersama dengan suaminya di syurga kelak. Jika tidak, akan terputus lah ikatan yang pernah ada.

Adakah hal ini benar?

Antara hadis yang banyak disebar luaskan adalah seperti hadis di bawah:

Hadis Pertama

Diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.anha:

Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?

Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]

Walau bagaimanapun hadis di atas dinilai tidak sahih oleh Imam Ibn al-Jauzi dan dhaif oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy.

Hadis Kedua

Kisah kedua ini berlaku kepada Ummu Habibah yang diriwayatan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Ummu Habibah berkata:

“Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Bazza, no. 6631)

Hadis ini turut dinilai dhaif oleh Imam Al-Iraqi.

Hadis Ketiga

Kisah ketiga ini pula berlaku ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.” (Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath, no. 3130)

Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). Walau bagaimanapun Imam Al-Albani mensahihkan hadis ini.

Melihat kepada perbezaan pendapat dan pandangan dalam kalangan ulama, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan sebagaimana berikut:

– Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
– Isteri tersebut diberi hak untuk memilih.
– Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.

Namun, bagaimana pula jika suami yang terakhir adalah suami yang kurang baik akhlaknya? Adakah dia juga akan menjadi pasangan si isteri di akhirat kelak?

Imam Suyuthi menghimpunkan kesemua riwayat tersebut dan berpandangan bahawa seorang isteri itu akan bersama dengan suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suami yang pernah dinikahi sama tarafnya daripada sudut akhlak. Jika sebaliknya, maka wanita tersebut boleh memilih yang paling baik akhlaknya. (Lihat Kitab Al-Jami’ al-Saghir)

Malah, pihak Mufti Wilayah Persekutuan memilih untuk bertawaqquf dalam membincangkan permasalahan ini lebih jauh kerana dalil-dalil yang ada tidak begitu kuat. Sedangkan perkara yang melibatkan kehidupan di syurga kelak adalah termasuk hal-hal yang masih rahsia.

Berusahalah untuk menjadi pasangan yang baik ketika di dunia dan banyakkanlah berdoa agar dipertemukan semula dengan pasangan yang disayangi di akhirat kelak.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menyebutkan di dalam satu riwayat bahawa seseorang itu akan dikumpulkan dengan orang yang dia cintai di akhirat kelak, bahkan mereka yang telah masuk ke syurga boleh meminta apa yang diingini. Allah juga tidak akan menzalimi hamba-hambaNya dan pastinya akan memberikan ganjaran yang terbaik kepada mereka.

Rujukan:
1. Mufti Wilayah Persekutuan
2. Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.