Ads Top

Bagaimana Untuk Tahu Orang Yang Dijumpai Dalam Mimpi Adalah Nabi SAW

Rasulullah SAW, seorang insan yang dimuliakan oleh Allah di dunia dan juga akhirat. Tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mengikut segala ajaran baginda SAW.

Pasti pernah terlintas di benak kita – bagaimana agaknya wajah dan paras baginda, manusia agung ini. Kita juga mendengar ada yang berkata mereka pernah bermimpi bertemu Nabi SAW. Ini kerana syaitan tidak dapat menyerupai Rasulullah SAW dalam mimpi. Hadis baginda sendiri yang menyebut:

Dari Abu Hurairah R.anhu bahawa Nabi SAW bersabda,

من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتخيل بي

“Siapa yang melihatku dalam mimpi, dia benar-benar melihatku. Kerana syaitan tidak mampu meniru rupa diriku.” (HR. Bukahri dan Muslim)

Namun timbul persoalan, jika kita tidak pernah berjumpa Nabi SAW, tidak pula hidup di zaman Nabi SAW, bagaimana untuk tahu bahawa orang yang dijumpai dalam mimpi itu adalah Nabi SAW yang sebenar.

Dalam hal ini, penting untuk kita memahami beberapa perkara:

#1 – Pertama, syaitan memang tidak mampu menyerupai wajah nabi yang sebenarnya namun syaitan masih boleh mengubah rupa kepada lelaki lain lalu mengaku sebagai Nabi SAW.

#2- Kedua, apabila ada yang mengatakan bahawa bertemu dengan seseorang yang berjubah putih, berwajah cerah dan menenangkan, itu bukanlah jaminan bahawa orang yang dilihat adalah Nabi SAW. Apa yang dilihat dalam mimpi perlu disepadankan dengan ciri-ciri fizikal Nabi SAW.

Malah Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan,

“Diriwayatkan daripada Ayyub, beliau menceritakan, jika ada orang yang bercerita kepada Muhammad bin Sirin bahawa dirinya mimpi bertemu Nabi SAW, maka Ibnu Sirrin meminta kepada orang ini untuk menceritakan ciri orang yang yang dia lihat dalam mimpi itu. Jika orang ini menyampaikan ciri-ciri fizikal yang tidak beliau kenal, beliau mengatakan, “Kamu tidak melihat Nabi SAW.” Dan Ibnu Hajar mengatakan bahawa sanad riwayat ini sahih.

Ibnu Sirrin, seorang yang menguasai ilmu tafsir dan takwil mimpi juga meminta bukti daripada orang yang berkata berjumpa Nabi SAW dalam mimpi, apatah lagi kita manusia biasa yang tidak mengetahui ilmu tersebut.

Bagaimana Untuk Mengenali Nabi SAW Agar Tidak Diperdaya Oleh Syaitan

Tidak lain tidak bukan, kita perlu mengetahui tentang ciri-ciri fizikal baginda. Kenalilah Nabi SAW dengan membaca hadis-hadis dan keterangan para sahabat yang menceritakan tentang peribadi Nabi SAW.

Rujuklah kitab atau penerangan tentang ciri-ciri dan peribadi Nabi SAW contohnya melalui Kitab Syamail Muhammadiyyah, yang ada menceritakan tentang bentuk dan postur badan baginda, bentuk rambut, cara jalan dan lain-lain.

Antara buku-buku lain yang boleh dirujuk antaranya:

1. Asy-Syamail Asy-Syarifah oleh As-Suyuthi
2. Al-Anwar fi Syamail An-Nabi Al-Mukhtar oleh Al-Baghawi
3. Syamail Ar-Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam oleh Ahmad bin Abdul Fatah Zawawi

Dengan mengenali baginda menerusi riwayat-riwayat yang ada serta mengikuti saranan baginda, kita sudah selangkah ‘bertemu’ Nabi SAW sebenarnya. Ayuh kita cuba mengenali ciri dan peribadi baginda lalu menjadikannya sebagai panduan yang baik untuk diikuti.

Rujukan:
Konsultasisyariah




No comments:

Powered by Blogger.